BERSEMPENA Hari Raya Aidilfitri ini, Islam mengalakkan umatnya kunjung mengunjung di antara satu sama lain, khususnya yang muda menziarahi yang tua sebagai tanda hormat dan berkasih sayang.
Ziarah menziarahi merupakan antara budi pekerti mulia yang menjadi amalan tradisi orang-orang Melayu sejak zaman berzaman. Selain daripada amalan berziarah, umat Islam di Malaysia juga gemar bertukar-tukar hadiah, sama ada berupa kuih raya, hamper atau sebagainya. Bagi anak-anak, merekalah yang paling gembira kerana mendapat duit raya atau 'angpow' dari golongan yang lebih berusia. Justeru elok juga jika anak-anak muda, khususnya dari kelompok pemuda Pakatan Rakyat, berkunjung ke Yayasan Kepimpinan Perdana, untuk menziarahi dan bertanya khabar mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Kunjungan dibuat bukan untuk memberi duit raya kepada Mahathir, duit tidak perlu baginya kerana wang pencennya sudah cukup menampung kehidupan beliau bersama Tun Dr Siti Hasmah. Kali ini pemuda Pakatan Rakyat digalakkan menziarahi Mahathir untuk menyampaikan hadiah kepada beliau. Hadiahnya berupa sebuah naskhah buku Anwar on Trial : In the Face of Injustice karya peguam Pawancheek Marican. Buku ini dilancarkan peguam terkemuka, Raja Aziz Addruce di sebuah hotel di ibu negara 14 September lepas. Buku ini amat signifikan dan relevan dengan Mahathir. Ia merupakan sebuah hadiah yang amat simbolik buat beliau, kerana ia khusus membicarakan suatu tragedi besar yang berlaku di zaman pemerintahan Mahathir. Rakyat Malaysia, khususnya yang berusia awal 20-an, semestinya mengingati Dr Mahathir, sebagai negarawan ulung, yang menjadi PM serta Presiden Umno yang paling lama dalam sejarah, iaitu lebih 22 tahun. Jasa-jasa Mahathir cukup besar untuk dicatat dan diperkatakan dalam kolum yang terhad ini. Beliau digelar 'Bapa Pembangunan Malaysia Moden'. Di zaman pemerintahannya terlalu banyak 'event' yang berlaku. Ada bright side (sisi terang) dan ada dark side (sisi gelap).
Pandangan dari sudut 'sisi terang', sudah terlalu banyak diperkatakan oleh media pengampu. Media mengiyakan sahaja semua kata dan tindakan Mahathir, sehingga mereka 'menjamu' rakyat, dengan berita-berita yang 'menghairan', mengutuskan bahan pembacaan yang 'meloyakan' dan melaporkan 'tiga suku' berita perdana yang membohongi rakyat. 'Sisi gelap' pemerintahan Mahathir ditutup dan digelapkan terus daripada rakyat. Namun itulah bak kata pepatah 'bangkai nyamuk boleh ditutup, inikan pula bangkai gajah'. Dalam politik Malaysia nama Mahathir tidak boleh dilupakan kerana tiga TPM jatuh dan dijatuhkan di zamannya. Jika diperhalusi satu persatu, barangkali Mahathir juga ada silapnya. Walaupun begitu, ada yang beranggapan apabila bekas PM berundur dari jawatan yang dipegangnya selepas lebih 22 tahun ditampuk kuasa, beliau sudah tidak relevan lagi untuk disentuh. Itulah sifat kita, orang-orang Melayu. Kebanyakannya cuba bersangka baik dan hanya mahu mengingati kebaikan-kebaikan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin terdahulu. Secara tidak disedari sikap bersangka baik inilah yang membelenggu minda orang-orang Melayu khususnya, juga kalangan rakyat secara umumnya untuk kekal di bawah cengkaman Umno-BN, lebih 50 tahun. Anggapan ada kebenarannya, beliau sudah tidak berkuasa, buat 'menghabiskan beras' sahaja jika kita melayannya. Namun pada penulis, kadangkala kita harus berfikir sebaliknya. Apatah lagi apabila semasa pemerintahannya Mahathir melakarkan banyak peristiwa bersejarah yang buruk dalam negara. Justeru buku Anwar on Trial : In the Face of Injustice ini amat wajar diteliti. Ia membongkar bagaimana Mahathir merosakkan sistem keselamatan (polis), memusnahkan integriti kehakiman dan jabatan peguam negara, hanya semata-mata mahu kekal ditampuk kuasa. Sekurang-kurangnya buku ini menjadi kesinambungan catatan dalam sejarah, bahawa angkara Mahathir, dua kali sistem kehakiman musnah. Pertama, tahun 1988 ketika memecat Tun Salleh Abas; Kedua, ketika memecat Anwar pada tahun 1998. Buku ini dilancar dan ditatapi rakyat tatkala umat Islam diambang menyambut Hari Raya Aidilfitri. Oleh itu, ia merupakan hadiah terbaik buat persaraan Mahathir._ |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan