SINAR HARIAN ONLINE
SUNGAI BESAR – Hampir dua tahun terbengkalai, akhirnya Pusat Kegiatan Mualaf, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) daerah Sabak Bernam di Kuarters Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di sini akhirnya dapat digunakan sepenuhnya sebagai pusat sehenti pembelajaran mualaf.
Pusat yang dahulunya sebuah kuarters kosong diberikan kepada Perkim daerah ini untuk menjalankan kelas dan aktiviti kepada mualaf dan saudara baru.
Bagaimanapun, berikutan ketiadaan peruntukan, kerja baik pulih pusat itu tergendala sehinggalah menerima peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM20,000 di bawah ameniti sosial Ahli Parlimen Sungai Besar.
Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Noriah Kasnon berkata, masih banyak yang perlu diperbaiki di pusat kegiatan itu supaya kumpulan mualaf dan saudara baru dapat menjalani kelas dengan lebih selesa.
“Antaranya penambahan buku-buku agama dan keperluan solat sebagai keperluan saudara kita dalam mempelajari Fardu Ain dan agama di pusat ini,” katanya semasa merasmikan Pusat Kegiatan Mualaf Perkim daerah di sini.
Pada majlis itu, Noriah yang juga Ahli Parlimen Sungai Besar, turut berkesempatan meraikan tiga pengantin baru yang masing-masing mengahwini mualaf dan menyampaikan sumbangan sempena Ramadan pada majlis berbuka puasa bersama keluarga mualaf seluruh daerah.
Tiga pasangan berkenaan adalah Yusuf Ng Abdullah, 44, bersama pasangannya, Saodah Dahri, 48, Mat Abdullah, 48 dengan Emelia Ishak, 31, dan Johari Abdullah, 60, dengan Rokiah Abdullah, 35.
Menurut Noriah, usaha Perkim sebagai sebuah organisasi sukarelawan dalam menyampaikan dakwah, membimbing dan menjaga kebajikan saudara baru harus disokong pelbagai pihak.
Islam, katanya tidak dibezakan dengan bangsa, sama ada saudara baru atau telah dilahirkan sebagai Islam, masing-masing mempunyai tanggungjawab untuk menguatkan pegangan agama.
“Kita harap pusat kegiatan ini akan berfungsi sebagai sebuah pusat sehenti untuk mualaf dan saudara baru bukan sahaja sebagai kelas tetapi sebagai pusat rujukan utama mereka terutama dalam menghadapi masalah,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan