Ahad, 27 September 2009

IPF komited sokong BN walau dicemuh sebagai kuli

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Parti Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF) berjanji terus komited menyokong kerajaan biarpun belum diterima sebagai anggota parti komponen dan dicemuh pembangkang sebagai kuli Barisan Nasional (BN).

Presidennya, Puan Sri Jayashree Pandithan, berkata sokongan itu bukannya bersifat suka-suka tetapi berasaskan kepada komitmen yang ditunjukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat India.

"Walaupun parti-parti pembangkang melabelkan IPF sebagai gurkha atau kuli BN dan mendakwa BN tidak akan menerima parti ini sampai bila-bila, kami akan tetap menunggu penuh setia sehingga permohonan menyertai BN diterima.

"Kami akan sekali lagi menghantar permohonan rasmi untuk menyertai BN dalam masa terdekat dan yakin pucuk pimpinan BN akan mengambil berat permohonan ini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung IPF kali ke-17 di sini, hari ini.

Jayashree berkata, walaupun beberapa permohonan mereka sebelum ini tidak mendapat tindak balas positif BN tetapi IPF terus setia bersama BN selama hampir 20 tahun penubuhannya.

Pada sidang media Mei lepas Jayashree memaklumkan parti itu akan memohon kepada Najib selaku Pengerusi BN untuk parti itu menyertai BN bagi meneruskan usaha yang dilakukan mendiang Tan Sri M G Pandithan yang juga Presiden dan Pengasas IPF sebelum ini.

Semasa ditanya jika permohonan itu ditolak BN adakah IPF yang dikatakan mempunyai 300,000 anggota di seluruh negara akan menyertai parti lain, Jayashree berkata, parti itu akan terus berdiri kukuh di belakang BN dan tidak terlintas untuk menyertai mana-mana parti selain BN.

"Kami adalah penyokong kuat BN...tidak syak lagi tentang itu kerana Tan Sri (Pandithan) menyokong BN dan kami mengikut jejak langkahnya. Tidak timbul soal menyertai mana-mana parti atau pembangkang. Kami adalah penyokong setia BN," katanya.

Jayashree berkata, IPF bukanlah parti yang ditubuhkan untuk bersuka-suka tetapi mempunyai wawasan yang jelas dan sebagai rakan baik BN, parti itu ingin melihat pembaharuan dalam BN.

"Saya harap pucuk pimpinan BN akan mengambil berat permohonan ini serta kehendak parti IPF secara serius bagi mengembalikan semula keyakinan masyarakat India terhadap BN bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang," katanya.

Tiada ulasan: