Khamis, 24 September 2009

Dr Lo' Lo' belum boleh terima tetamu Hari Raya

Salhan K Ahmad


Ahli parlimen Titiwangsa Dr Lo' Lo' Ghazali sehingga kini masih belum dapat menerima tetamu untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri lantaran keadaan kesihatannya selepas pembedahan lebih sebulan lalu.

Wakil rakyat wanita PAS yang lantang itu, sewaktu dihubungi, memohon maaf kerana tidak dapat ditemui Malaysiakini di rumahnya di Keramat, Kuala Lumpur kerana masih perlu berehat.

"Minta maaf, saya tidak berapa sihat," katanya melalui mesej SMS.

titiwangsa contest 250208 lo lo mohd ghazaliDr Lo' Lo' menjalani satu pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) awal Ogos lalu dan kini masih dalam peringkat pemulihan.

Pembantu peribadinya Mohd Ehsan Mohd Surur ketika dihubungi berkata ahli jawatankuasa pusat PAS itu perlu berehat panjang dan tidak dapat menerima sebarang tetamu.

"Bukan saja untuk terima tetamu, untuk jawab telefon pun dia tidak larat," katanya, menjelaskan keengganan wakil rakyat itu untuk ditemubual melalui telefon.

Dalam kenyataan awal kepada Malaysiakini pertengahan bulan lepas, pengerusi Lajnah Kebajikan PAS memberikan alasan penularan wabak influenza A (H1N1) untuk membataskan kunjungan.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyebut bentuk pembedahan yang dijalani oleh beliau dan bila ia diljalankan.

Anggota keluarga, kakitangan dan beberapa pemimpin PAS yang dihubungi juga keberatan untuk menceritakan dengan lebih lanjut.

Wartawan Malaysiakini yang berkunjung ke IJN waktu itu diberitahu kakitangannya mengesahkan bahawa Dr Lo' Lo' sedang menjalani rawatan fisioterapi di situ.

Tinjauan Malaysiakini ke pusat khidmat wakil rakyat tersebut di Kampung Baru, Kuala Lumpur hari ini pula mendapati premis tersebut lengang tanpa dikendalikan kakitangan.

Berita status kesihatan Dr Lo' Lo' mula tersebar di Internet sejak 14 Ogos lepas.

Penulis blog Malaysia Waves, yang dekat dengan pemimpin-pemimpin PAS, meminta semua pembacanya mendoakan kesejahteraan Dr Lo' Lo' sewaktu menjalani pembedahan paru-paru oleh seorang pakar kardiothorasik.

Ahli parlimen itu kemudian dilaporkan ditempatkan di Wad Kenanga IJN untuk proses pemulihan.

Tiada ulasan: