Isnin, 28 September 2009

Hentikan desakan dan polimik tentang calon N 31 Bagan Pinang, Parlimen Telok Kemang

MSTAR ONLINE


PETALING JAYA: Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan menyeru agar semua pihak menghentikan desakan kepada kepimpinan tertinggi parti serta berpolemik tentang calon di Bagan Pinang semata, sebaliknya menumpukan sepenuh tenaga serta fokus kepada gerak kerja bagi memenangkan siapa pun calon yang akan dipilih oleh pucuk pimpinan tertinggi UMNO dalam masa terdekat ini.

Pemuda UMNO Negeri Sembilan menyokong penuh siapa sahaja yang akan dipilih dan juga akan diumumkan pada 29hb September ini oleh Presiden parti, YAB Dato' Seri Najib Tun Razak dan telahpun bersedia sepenuhnya bagi mengerakkan seluruh jentera Pemuda UMNO Negeri dalam membantu kepimpinan UMNO Bahagian Telok Kemang bagi menghadapi pilihanraya kecil N 31 Bagan PInang.

Pergerakan Pemuda UMNO NS juga menasihatkan kepada pemimpin-pemimpin dari luar UMNO Bahagian Teluk Kemang supaya tidak mencampuri urusan serta memberikan kenyataan yang tidak sepatutnya bagi mengeruhkan suasana persiapan pilihanraya kecil N 31 Bagan Pinang.

Seharusnya sebagai pemimpin senior dan berpengalaman lebih arif dan memahami sistem ataupun proses dalam menamakan calon-calon pilihanraya dan bukan dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang bercanggah dengan proses amalan kebiasaan parti serta mendesak keterlaluan pemimpin tertinggi bagi menentukan calon kerana kepimpinan mempunyai akses yang cukup banyak bagi menilai calon yang terbaik bagi mewakili parti dalam pilihanraya kecil ini.

Mengeluarkan kenyataan-kenyataan akhbar kononnya bagi mempengaruhi keputusan kepimpinan tertinggi parti dalam pemilihan calon adalah suatu tindakan yang langsung tidak menghormati sistem yang telah digunapakai selama ini dan jelas hanya untuk populariti murahan semata dan langsung tidak menghormati serta memberi ruang sepenuhnya kepada pucuk pimpinan tertinggi bagi menentukan calon yang difikirkan layak mewakili parti. Pemuda UMNO Negeri Sembilan juga kesal akan tindakan mana-mana individu yang mengkritik Tun Mahathir atas kenyataan yang telah beliau buat mengenai calon di Bagan Pinang terdahulu dan sepatutnya kita menghormati atas pandangan peribadi beliau sebagai Negarawan yang telah banyak berjasa kepada negara dan landskap politik tanahair.

Pemuda UMNO Negeri Sembilan akan mendukung sepenuhnya serta berkeyakinan tinggi serta menyokong siapa sahaja yang akan dipilih oleh pucuk pimpinan tertinggi UMNO dan akan mengerakkan seluruh jentera bagi memastikan kemenangan besar bagi calon N 31 Bagan Pinang.

Tiada ulasan: