Isnin, 28 September 2009

Tangkap pencuri: Anak pelakon Norlia Ghani maut jatuh tingkat 7


ANGGOTA Jabatan Pertahanan Awam Malaysia membantu Edi Rizal Ramli yang terjatuh dari tingkat 7 di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 27 Sept. - Niat murni anak ketiga pelakon veteran, Norlia Ghani untuk menangkap pencuri di kawasan rumahnya di Pangsapuri Murni Titiwangsa, Keramat berakhir dengan tragedi apabila dia terbunuh akibat terjatuh dari tingkat tujuh, pangsapuri tersebut.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 1.40 petang ketika Edi Rizal Ramli, 32, dikatakan cuba menyeberang tembok koridor bagi menangkap pencuri yang bersembunyi di anjung sebuah rumah di tingkat itu.

Bagaimanapun tindakan Edi gagal apabila dia tergelincir dan jatuh ke bumbung sebuah rumah di tingkat dua sebelum terjatuh ke tingkat bawah.

Mangsa dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) oleh penduduk dan disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.

Menurut saksi, Mazlan Abdullah, 36, cubaan merompak oleh pencuri itu pada mulanya disedari oleh seorang pembantu rumah di tingkat tujuh yang kemudian menjerit meminta tolong.

Katanya, Edi dan beberapa penduduk bergegas keluar rumah dan cuba mencari penjenayah berkenaan.

"Bagaimanapun Edi yang mendapat tahu pencuri itu menyorok di sebuah rumah berlari ke tingkat tujuh.

"Dia kemudian bertindak menyeberang tembok koridor rumah berkenaan untuk menangkap pencuri itu tetapi terjatuh.

"Kami telah melarang dia daripada bertindak seorang diri tapi tidak diendahkan," kata Mazlan ketika ditemui pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.

Katanya, pencuri tersebut bagaimanapun dapat melarikan diri dalam suasana kelam-kabut itu.

"Ini bukan kali pertama mangsa cuba menangkap pencuri. Dia memang selalu menolong menangkap pencuri tapi tidak sangka kejadian kali ini akan berakhir begini," katanya.

Abang ipar mangsa, Zainal Abidin Saad, 54, berkata, ketika kejadian ibu mertuanya tiada di rumah kerana berhari raya di rumahnya di Ampang.

"Semasa kejadian hanya abangnya, Romi sahaja berada di rumah kami di tingkat empat.

"Sebelum ini Edi pernah dirompak dan beberapa barangnya dicuri. Mungkin itu menyebabkan dia berang dan terus mengejar pencuri tanpa berfikir tentang keselamatan diri," katanya.

Zainal berkata, Allahyarham menunjukkan beberapa kelakuan pelik seperti sering mencium ibunya dan tidur berdekatan ibunya.

"Edi juga meminta duit raya daripada kakaknya yang sebelum ini tidak pernah dilakukannya.

"Mama ada memberitahu tentang sikap pelik arwah yang sering menciumnya dan mahu tidur berdekatan tapi kami fikir itu mungkin perkara biasa dan tidak langsung terfikir itu merupakan tanda-tanda arwah akan pergi meninggalkan kami.

"Dia juga ada bersalam dengan saya semasa hari raya dan meminta supaya dimaafkan segala kesalahan dan saya hanya fikir dia cuma bergurau sahaja," katanya.

Menurutnya, jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Keramat.

Sementara itu pelakon Rusdi yang dalam keadaan sedih ketika ditemui berkata, beliau ada berjumpa Edi semasa Hari Raya Aidilfitri dan arwah tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda pelik.

Edi merupakan anak ketiga daripada empat beradik hasil perkongsian hidup Norlia Ghani bersama Ramli Ismail. Pasangan itu dikurniakan empat anak iaitu Rusdi, Romiza, Edi Rizal, Emie Atkashina dan seorang anak angkat, Norlina.

Tiada ulasan: