Isnin, 28 September 2009

'Terima saja keputusan Presiden'

Oleh Ziauddin Sharuddin


PORT DICKSON: Ketua Umno bahagian Telok Kemang, Tan Sri Mohd Isa Samad, menegaskan bahagian itu akan menerima siapa saja yang diputuskan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak, sebagai calon untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

Katanya, Umno bahagian akan menerima calon berkenaan kerana yang penting adalah calon itu mencapai kejayaan.

"Memang dalam masa hendak memutuskan calon, tentulah ada pelbagai spekulasi. Ini tidak dapat dielakkan dan bukan luar biasa sangat," katanya ketika ditemui pada majlis jamuan Aidilfitri Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Kampung Bagan Pinang di sini, malam kelmarin.

Mohd Isa yang juga Ketua Umno cawangan Bagan Pinang berkata, paling penting ialah penerimaan calon di kalangan pengundi DUN itu.

Beliau percaya pucuk pimpinan parti akan memikirkan calon terbaik untuk memastikan parti menang dengan keadaan cukup selesa.

"Tidak ada siapa hendak kita kalah. Saya percaya parti akan membuat keputusan bijak, tepat dan memberikan kemenangan selesa kepada BN," katanya.

Nama calon BN dijangka diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam suatu majlis di Bagan Pinang, Selasa ini.

Bahagian Telok Kemang pada peringkat awal hanya mencalonkan nama Mohd Isa untuk bertanding dalam pilihan raya kecil pada 11 Oktober ini. Bagaimanapun, selepas diminta pucuk pimpinan parti, dua lagi nama dikemukakan untuk dipertimbangkan sebagai calon BN.

Nama Mohd Isa disebut sebagai kemungkinan besar dipilih sebagai calon walaupun pernah disabitkan kesalahan politik wang ketika bertanding dalam pemilihan Umno.

Bekas Menteri Besar dan Menteri Wilayah Persekutuan itu apabila diminta mengulas perkara itu berkata, politik wang adalah perkara yang sudah selesai.

"Saya sudah menjalani hukuman. Sudahlah. Bagi pembangkang, memang mereka akan menggunakan isu itu, tetapi mereka tidak berprinsip.

"Pembangkang tidak pula menyebut pemimpin mereka yang keluar masuk penjara. Sebenarnya, jika batang pinang diletakkan sebagai calon pun, mereka akan mempersoalkan Bagan Pinang," katanya.

Mohd Isa berkata, pembangkang akan mencari kelemahan atau mewujudkan isu yang boleh mengelirukan rakyat dan tanggungjawab BN untuk memperjelaskan isu itu, sama ada tempatan atau nasional bagi mengelakkan pengundi terpedaya.

Tiada ulasan: