Rabu, 23 September 2009

Lagi NGO gesa SKMM henti siasatan

MALAYSIA KINI


NGO hak asasi terkenal Human Rights Watch (HRW) menyertai desakan beberapa NGO di peringkat antarabangsa yang menggesa siasatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap Malaysiakini dihentikan.

Mengulas siasatan dua video di akhbar web popular itu berhubung demonstrasi membawa kepala lembu hujung bulan lalu, HRW berkata kerajaan berharap isu tersebut dilupakan dengan cara membuang laporan tersebut.

"Kerajaan mahu masalah tersebut hilang begitu sahaja dengan cara membuang video-video tersebut daripada Internet," kata timbalan pengarang Asia NGO itu Elaine Pearson dalam satu kenyataan lewat semalam.

Malaysiakini enggan menarik balik video tersebut seperti arahan SKMM dalam suratnya bertarikh 3 September lalu dengan alasan imej kepala lembu itu boleh mengganggu sensitiviti orang ramai, khususnya penganut Hindu.

Susulan itu, SKMM menyiasat secara intensif sekumpulan besar pegawai kanan, editor, wartawan (foto kanan), jurukamera dan kakitangan teknikal Malaysiakini yang terbabit selama beberapa hari di pejabat syarikat media itu di Bangsar Utama, Kuala Lumpur sejak mengambil keterangan ketua pengarang kumpulannya Steven Gan, 5 September lalu.

Suruhanjaya itu juga menyiasat syarikat pelayan web akhbar dalam talian itu di Jalan Kuchai Lama dan Pusat Data Jaring di Sungai Besi - kedua-duanya di Kuala Lumpur.

SKMM dipercayai akan mengambil keterangan terakhir Ketua Pegawai Eksekutifnya Premesh Chandran (foto kiri), sekali lagi, dalam masa terdekat selepas menyiasat sekumpulan besar editor, wartawan, juruvideo dan kakitangan teknikal yang menerbitkan dua video berkenaan.

Khamis lalu, Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ), yang berpangkalan di New York, menggesa kerajaan berhenti mengacau akhbar itu dan menyifatkan siasatan suruhanjaya itu sebagai tindakan mungkir janji untuk menjamin kebebasan dalam talian.

Seminggu sebelumnya Pakatan Akhbar Asia Tenggara (Seapa), berpejabat di Bangkok, pula menyifatkan siasatan itu sebagai satu bentuk "gangguan sewenang-wenangnya" terhadap akhbar web tersebut, dan sekali gus mencabuli hak bersuara dan kebebasan media.

Di dalam negara, pada 15 September, Pemuda Gerakan menggesa Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan mengarahkan SKMM menghentikan gangguannya terhadap Malaysiakini.

Tindakan menyiasat akhbar web itu - secara intensif selama beberapa hari minggu lalu - bertentangan dengan hasrat kerajaan yang menekankan kebebasan bersuara, kata Naib Ketua Pemudanya, Liang Teck Meng.

Pada 14 September lalu, sekumpulan NGO hak asasi dan penulis blog berkumpul secara aman di depan pejabat Malaysiakini sebagai membantah tindakan menyiasat portal berita itu selama empat hari mulai 5 September lalu.

Sementara pada 12 September pula, MCA dilaporkan turut menggesa SKMM memberhentikan siasatan bertubi-tubinya terhadap Malaysiakini yang boleh dilihat sebagai satu gangguan yang mengekang kebebasan akhbar.

Tiada ulasan: