UTUSAN ONLINE
KUALA LUMPUR - Pelakon dan penerbit drama terkenal, Ziela Jalil menafikan spekulasi yang beliau sudah mendirikan rumah tangga kali kedua selepas kematian suaminya hampir dua tahun lalu.
Menurut isteri kedua bekas menteri Kabinet, Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayob itu, dakwaan kononnya beliau sudah menamatkan zaman janda adalah tidak berasas sama sekali.
Ziela atau nama sebenarnya Norzila Jalil, 39, yang kesal dengan berita yang tersebar luas itu memberitahu, semenjak beberapa hari lalu, beliau menerima banyak panggilan daripada saudara-mara dan kenalan bertanyakan kebenaran hal tersebut.
"Saya hairan bagaimana cerita tidak benar seperti ini boleh tersebar luas dan saya juga tertanya-tanya siapa yang berani menyebarkan dakwaan ini. Dakwaan ini benar-benar memalukan saya," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Selain ahli keluarganya, spekulasi mengenai berita perkahwinan kali kedua Ziela juga sampai ke pendengaran wartawan hiburan.
Suami Ziela, Allahyarham Megat Junid yang pernah menjadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna meninggal dunia 24 Januari tahun lalu akibat menghidap penyakit barah.
Menerusi perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Puteri Julia Nabilah, 17, dan Megat Jufri Nasrullah, 15.
Menurut artis popular itu, buat masa ini hatinya belum terbuka untuk berkahwin lagi kerana ingatan beliau terhadap suaminya tidak pernah padam.
Pada masa sama, Ziela memberitahu, beliau harus memegang amanah Allahyarham suaminya yang memintanya jangan sesekali mengabaikan anak-anak.
"Kasih sayang saya pada arwah suami tidak pernah pudar apatah lagi ketika ini anak-anak saya sedang membesar dan masih belajar.
"Saya tidak boleh terlalu mementingkan diri untuk berkahwin lagi sehingga boleh mengabaikan tumpuan terhadap anak-anak. Amanah arwah suami masih terngiang-ngiang di telinga saya," ujar Ziela.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan