BERNAMA
KUALA LUMPUR - Kerajaan memutuskan harga gula dikekalkan pada RM1.45 sekilogram bagi gula kasar dan RM1.55 sekilogram bagi gula halus walaupun negara dilaporkan mengalami masalah bekalan gula.
Bagi mengatasi masalah gula, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah mengambil beberapa langkah dan tindakan termasuk menawarkan ganjaran tidak melebihi RM10,000 kepada pemberi maklumat mengenai kegiatan penyelewengan gula.
Menurut kenyataan KPDNKK yang dikeluarkan hari ini, kerajaan juga telah mengarahkan kilang-kilang pengeluar gula supaya tidak menjual gula kepada industri yang mengeksport produk itu untuk pasaran luar negara.
Aktiviti penguatkuasaan dan kawalan di sempadan negara juga diperketatkan bagi melarang eksport gula keluar dari Malaysia melalui jalan darat, menurut kenyataan itu lagi.
Selain daripada itu, pemborong gula yang didapati menyelewengkan bekalan gula sehingga menimbulkan masalah kekurangan bahan itu di pasaran pula bakal berhadapan tindakan tegas termasuk lesen perniagaan mereka dibatalkan.
"Langkah yang lain adalah melakukan pembekuan pengeluaran lesen borong gula dan pembekuan penambahan kuantiti simpanan gula kepada syarikat-syarikat pemborong berkuat kuasa serta merta," menurut kenyataan itu.
Kenyataan KPDNKK itu menyebut peruncit (hipermarket dan supermarket) dibenarkan mengenakan had pembelian di mana beberapa pegawai penguatkuasa akan ditempatkan di tempat pembayaran untuk menyekat pembelian berlebihan.
"Penjualan gula dalam bentuk loose juga dilakukan di mana pengguna akan menceduk sendiri gula yang ingin dibeli, ini akan melambatkan proses pembelian kerana gula dalam bentuk pek tersedia bungkus terlalu mudah untuk dibawa keluar," menurut kenyataan itu lagi.
Semua pejabat KPDNKK negeri juga telah diarahkan untuk menjalankan pemeriksaan harian ke atas semua pemborong dan peruncit untuk mengesan pengedaran gula di negeri masing-masing, katanya.
"Dengan adanya langkah-langkah yang dilaksanakan KPDNKK itu, diharapkan bekalan gula akan mencukupi di pasaran. Apa yang penting adalah kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi menangani masalah ini," menurut kenyataan itu lagi.
Menurut kenyataan KPDNKK itu, terdapat beberapa masalah kekurangan bekalan gula antaranya disebabkan peningkatan permintaan berbanding bulan-bulan sebelumnya berikutan persediaan menghadapi musim perayaan.
Selain itu, terdapat juga pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan membeli gula dalam kuantiti yang besar melebihi keperluan untuk mengaut keuntungan akibat spekulasi kenaikan harga gula.
Di samping itu, masalah kekuarangan gula berlaku disebabkan industri makanan dan minuman membeli dan menyimpan gula lebih dari kebiasaan untuk memastikan pengeluaran tidak tergendala dan berlakunya kegiatan penyeludupan gula bersubsidi Malaysia yang jauh lebih murah berbanding harga gula di negara-negara jiran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan