|
|
POKOK SENA - Disebabkan sistem perparitan yang tidak sempurna, lebih 10 buah rumah di Kampung Jabi di sini dinaiki air sehingga ke paras lutut setelah hujan tidak berhenti-henti sejak semalam.
Banjir itu turut menyebabkan laluan utama yang menghubungkan Alor Setar ke Pokok Sena dinaiki air dan berlaku kesesakan lalu lintas apabila hanya laluan di sebelah kiri jalan tersebut boleh dilalui kenderaan.
Seorang penduduk Kampung Jabi, Sallahudin Bakar, 47, memberitahu, air naik kira-kira pukul 2 pagi namun surut beberapa jam kemudian.
"Kami telah mengemas dan membersihkan rumah, namun hujan lebat yang berterusan sejak pagi tadi menyebabkan air naik sekali lagi kira-kira pukul 10 pagi.
"Ketika air naik pada pukul 2 pagi, kami sekeluarga tidur di tingkat bawah rumah dan air naik begitu pantas," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Dia mendakwa, projek menaik taraf jalan raya yang masih dalam pembinaan di kampung tersebut menjadi punca mengapa air naik begitu pantas.
"Kampung ini memang selalu dilanda banjir namun dulu ada parit yang akan membawa air yang melimpah ke kawasan sawah padi.
"Setelah projek ini berjalan, parit tersebut tertutup dan air melimpah dengan pantas memasuki kampung," katanya.
Seorang lagi penduduk, Aziz Darus, 62, berkata, sepatutnya pihak pemaju membina dahulu parit untuk mengalirkan air dari kawasan kampung sebelum membina jalan raya yang baru.
"Kampung ini sering dilanda banjir dan kami tidak larat untuk mengemas rumah setiap kali banjir melanda.
"Kami mahu pihak pemaju segera membina parit bagi mengelakkan kejadian banjir ini berulang kembali," tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan