Isnin, 24 Ogos 2009

Pengguna serbu lori gula


ORANG ramai berpusu-pusu menyerbu sebuah lori untuk mendapatkan bekalan gula yang dihadkan dua bungkus kepada setiap pengguna di Lembah Sungai Perak, Kuala Kangsar, semalam.


KUALA KANGSAR – Hanya dalam masa 90 minit, 2,000 kilogram gula pasir habis dijual! Itu senario yang berlaku apabila para pengguna menyerbu sebuah lori yang membawa gula pasir berhampiran tapak pasar tani Lembah Sungai Perak di sini pagi ini.

Penjualan yang dilakukan oleh sebuah syarikat pemborong gula terbesar daripada Sungai Siput dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Kangsar itu bermula pukul 9 pagi.

Menurut Ketua Cawangan KPDNKK Kuala Kangsar, A. Razak Shaari, jualan terbuka seperti itu bertujuan membuktikan kepada orang ramai terutama pengguna di daerah ini supaya tidak panik tentang ketiadaan bekalan gula.

Katanya, bekalan barangan tersebut di sini tidak begitu meruncing walaupun beberapa kawasan lain mengalami kesukaran untuk mendapatkannya.

‘‘Sebab itu, kita bekerjasama dengan pihak pemborong gula melakukan penjualan terbuka kepada pengguna. Dengan jumlah sebanyak enam pemborong di daerah Kuala Kangsar, ia masih mampu untuk menampung bekalan tersebut.

‘‘Para pengguna tidak perlu melakukan ‘pembelian panik’ dan mudah mempercayai khabar angin yang diuar-uarkan di kalangan pengguna bahawa akan berlaku ketiadaan gula,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambah beliau, penjualan terbuka itu kali kedua dilakukan pihaknya selepas jualan pertama di pasar petang Padang Rengas pada 13 Ogos lalu yang juga mendapat sambutan menggalakkan.

‘‘Jualan pertama sebanyak satu tan metrik (1,000 kilogram) habis dalam masa satu jam setengah. Melihat kepada sambutan yang menggalakkan itu, hari ini, kita sekali lagi berbuat demikian.

‘‘Selain itu, penjualan dari masa ke semasa ini juga untuk mengembalikan kepercayaan pengguna bahawa tidak akan berlaku krisis gula seperti yang digembar-gemburkan,” katanya.

Tiada ulasan: