Ahad, 19 Julai 2009

Khazanah peti besi Tunku bernilai hampir RM400,000

Oleh Azrul Affandi Sobry


KOLEKSI 46 objek atau artifak berharga termasuk cenderamata emas dalam peti besi milik Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Al-Haj yang dibuka baru-baru ini, mempunyai nilai emas semasa kira-kira RM392,000.

Cenderamata seperti kepingan emas itu yang akan dinilai semula berdasarkan nilai sejarah serta buatannya, juga boleh dilihat orang ramai apabila dipamerkan selepas September ini, kata Ketua Pengarah Arkib Negara, Datuk Sidek Jamil.

Kenyataannya itu sekali gus menjawab persoalan ramai yang berminat mendapatkan butiran terperinci serta nilai artifak yang ditemui dalam peti besi seberat 300 kilogram yang menjadi rahsia sejak 19 tahun lalu.

Pada 2 Julai lalu, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim membuka peti besi berkenaan dengan disaksikan Timbalan Menteri, Senator Heng Seai Kie serta pegawai Arkib Negara di depan media.

Pembukaan peti besi itu turut melenyapkan spekulasi beberapa pihak yang menyifatkan ia menyimpan rahsia besar negara dan mendesak agar ia didedahkan kepada umum.

Peti besi itu disimpan dan dijaga dengan teliti oleh Tunku sejak beliau menjadi Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu dan kemudian sebagai Perdana Menteri pertama pada 1956 hingga 1970.

Peti besi itu pada mulanya diletakkan di pejabat Almarhum di bangunan Residensi dan kemudian dipindahkan ke kediamannya di Jalan Langgak Tunku apabila bersara pada 1970. Ia kemudian diserahkan kepada Arkib Negara pada 1994 oleh anak Bapa Kemerdekaan negara itu, Tunku Ahmad Nerang apabila residensi itu dijadikan sebagai sebahagian daripada Memorial Tunku Abdul Rahman Putra.

Namun, sejak ia dibuka, ramai berminat mengetahui apakah keistimewaan artifak itu yang hanya dapat diketahui selepas lebih sejam dibuka pakar kunci daripada syarikat Chubb Sdn Bhd.

Daripada koleksi 46 objek berkenaan, sebanyak 14 gunting dan 11 kepingan besi bersadur emas menjadi objek paling banyak disimpan, selain lapan kunci, dua plak dan dua syiling, serta masing-masing satu set butang baju, jam tangan, kotak emas, loket, replika pendayung sampan, pen jenama Parker, pingat, klip tali leher dan replika pengaut simen.

Semua objek itu sudah dikenal pasti komposisi bahannya oleh Arkib Negara dengan bantuan dan kepakaran daripada Bahagian Pendaftaran dan Pusat Konservasi Negara, Jabatan Muzium Negara dengan menggunakan sejenis alat yang dinamakan XRF dan hasilnya didapati kebanyakannya diperbuat daripada emas atau sekurang-kurangnya disadur emas tebal.

Objek itu adalah pemberian pelbagai lapisan masyarakat, pihak korporat mahupun agensi dari dalam atau luar negara sebagai tanda terima kasih atas kesudian Tunku merasmikan sesuatu acara atau melawat lokasi mereka.

Objek termahal yang berjaya dikenal pasti ialah seutas jam tangan dengan kompas binaan dalam buatan Silhoutte Swiss dengan jenama Dalil yang dibuat daripada emas putih serta bernilai lebih RM50,000.

Bagaimanapun, Sidek berkata, semua nilaian itu hanya dibuat berdasarkan nilai emas semasa selepas ditafsir berat dan kandungan bahan emas dalam setiap objek yang ditemui, bukan berdasarkan nilai sebenar atas faktor sejarah dan nostalgia sesuatu bahan itu.

“Arkib Negara akan menjalankan kajian lebih terperinci berkenaan semua barang itu bagi mengenalpasti nilainya yang sebenar. Kita juga masih dalam proses mendapatkan beberapa pakar yang mahir untuk membuat tafsiran nilai sebenarnya.

“Kita menjangkakan proses ini mengambil masa lebih sebulan lamanya. Hanya selepas itu, barulah ia akan dipamerkan kepada orang ramai,” katanya.

Sidek berkata, daripada 14 gunting yang ditemui, antaranya ialah pemberian daripada Cathay Cinema, Kuala Lumpur pada 23 Januari 1958 dengan berat 54.7 gram (gm), berukuran 14 sentimeter (cm) dan mempunyai komposisi emas 22 karat.

Salah satu gunting itu juga adalah cenderamata sempena pembukaan rasmi bangunan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 7 Disember 1961 yang seberat 63.4 gm dan berukuran 14.3 cm dengan komposisi emas sebanyak 20 karat.

Antara objek bernilai dan mempunyai nilai sejarah tinggi ialah sebuah kotak bersadur emas seberat 1,485 gm dengan saduran emas 20 karat pemberian Presiden Amerika Syarikat, Lyndon Baines Johnson pada 1966 ketika presiden itu membuat lawatan ke negara ini.

Satu set butang baju seberat 4.8 gm bernilai lebih RM20,000 pemberian Sultan Kedah turut ditemui selain satu kunci bernilai lebih RM10,000 pemberian pemimpin daerah Dade, Florida dan satu kunci bernilai RM5,000 yang diperoleh sebagai cenderamata sempena pembukaan Hotel Federal pada 26 Ogos 1957.

Tunku bukan sekadar menyimpan cenderamata daripada orang kenamaan kerana turut ditemui satu kunci dengan 97.9 peratus kandungan emas bernilai RM3,500 yang diterimanya sempena pembukaan Masjid Ar-Rahmah, Alor Setar, pada 25 Ogos 1961.

Selepas peristiwa berdarah 13 Mei 1969, Tunku yang banyak memberikan tumpuan kepada aktiviti mempertingkatkan perpaduan antara kaum diberi gelaran Bapa Muhibah dan ia terbukti melalui penemuan satu plak bertarikh 8 Februari 1970, namun tidak dapat dikenal pasti daripada siapa.

Ada juga disimpan cenderamata daripada individu yang diterimanya sempena hari jadinya pada 1966 iaitu kepingan plet besi dengan emas 18 karat daripada Annie dan Chooi Seng.

Warga sekolah Abdullah Munsyi, Pulau Pinang pasti berbangga kerana turut disimpan dalam peti besi itu ialah sekeping kepingan plet saduran emas dan kuprum seberat 5.22 gm yang diterima Tunku sempena pembukaan rasmi sekolah itu.

Menurut Sidek, semua 46 objek itu mempunyai nilai emas semasa berjumlah RM392,000 dan ia akan dinilai semula berdasarkan nilai sejarah serta buatannya dan semua penemuan itu akan dipamerkan kepada orang ramai selepas Aidilfitri.

“Ia akan dipamerkan di memorial ini kerana menjadi tugas kami mempamerkan sesuatu mengikut sejarah dan keadaan sebenarnya. Namun, kami akan mempertimbangkan untuk turut mempamerkannya di lokasi lain seperti Kedah dan Pulau Pinang kerana di situ juga ada kediaman Tunku,” katanya.

Tiada ulasan: