Ahad, 17 Mei 2009

Empat nama baru isi jawatan penting Perhubungan Selangor

BERITA HARIAN ONLINE


SHAH ALAM: Datuk Seri Najib Razak semalam mengumumkan empat nama baru bagi mengisi jawatan penting dalam Badan Perhubungan Umno Selangor ke arah membentuk satu pasukan padu dengan kesedaran kepentingan dan kebajikan rakyat perlu diutamakan.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri berkata, Ketua Umno Bahagian Puchong, Datuk Mohamad Satim Diman dilantik Setiausaha Perhubungan negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selayang, Abdul Shukur Idrus sebagai Ketua Penerangan Umno negeri.

Pada mesyuarat pertama bersama ahli jawatankuasa empat peringkat Umno di Bangunan Umno Selangor di sini, Najib turut mengumumkan Naib Ketua Bahagian Umno Kelana Jaya, Datuk Fateh Iskandar Mohamed Mansor selaku Bendahari dan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo sebagai ketua kumpulan pemikir.

Selain mereka, Umno Selangor dibarisi Datuk Noh Omar sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan negeri; Datuk Raja Ropiaah Raja Abdullah (Ketua Wanita Umno), Suhaimi Mohd Ghazali (Ketua Pemuda Umno) dan Suhaila Datuk M Zin (Ketua Puteri Umno).

Setiausaha Perhubungan sebelum ini disandang Ketua Umno Bahagian Sabak Bernam, Datuk Raja Ideris Raja Ahmad, manakala Ketua Umno Bahagian Kapar, Datuk Rahman Palil (Ketua Penerangan) dan Timbalan Ketua Bahagian Hulu Selangor, Datuk Adnan Buyong (Bendahari).

Sementara itu, Dr Mohamad Khir berkata, kumpulan pemikir itu akan membuat pembaharuan untuk mencari formula yang mampu mengembalikan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN), khususnya Umno.

Katanya, kepakaran tokoh korporat, ahli politik dan akademik daripada pelbagai kaum akan digabung untuk membantu BN dan Umno menghasilkan formula yang diterima semua kaum.

Tiada ulasan: