Khamis, 12 Februari 2009

Tiada 'trial' 100 hari bagi exco baru Perak - MB

BERNAMA


IPOH: Tiada tempoh percubaan bagi enam Exco baru Perak dalam menjalankan tanggungjawab dan amanah selepas mereka mengangkat sumpah bagi jawatan itu di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar semalam, kata Menteri Besar, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata apa yang lebih penting baginya dan barisan Exco yang dibentuk adalah memberikan komitmen sepenuhnya dalam melaksanakan tugas kepada rakyat selain tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) masing-masing.

“Saya ingin sebutkan di sini, inilah barisan Exco yang dibentuk seramai enam orang. Kita tidak ada tempoh percubaan atau yang sering disebut sebagai 100 hari dan sebagainya.

"Bagi kita, (melaksanakan tanggungjawab) bermula daripada mengangkat sumpah, itu adalah waktunya di mana kita mesti melakukan tugas dan tanggungjawab kita,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Sebelum itu, pada jam 10 pagi tadi beliau secara rasmi memasuki pejabat Menteri Besar di Bangunan Darul Ridzuan di sini dengan diiringi barisan Exco.

Ketibaan mereka disambut kakitangan Pejabat Menteri Besar dengan diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim.

Mengenai hanya enam Exco yang dilantik bagi menerajui pentadbiran negeri berbanding 10 Exco kerajaan negeri Barisan Nasional sebelum ini, Zambry berkata ia bergantung kepada keperluan tertentu dan keputusan yang dibuat.

Katanya daripada segi peraturan, Menteri Besar boleh melantik seberapa ramai Exco yang beliau mahu.

“Minimum mungkin empat, mungkin kita juga boleh melantik lima, enam orang tetapi itu bergantung kepada keperluan dan keputusan yang dibuat...kita akan fikir dari masa ke semasa (jika mahu menambah bilangan Exco) atas nama keperluan,” katanya.

Beliau juga berkata pengurangan hanya kepada enam Exco kali ini, ia tidak akan membebankan setiap Exco bagi memikul tanggungjawab mengikut portfolio yang diberikan kepada mereka.

Ketika ditanya mengenai polisi dan dasar kerajaan negeri yang baru dibentuk ekoran tumbangnya kerajaan Pakatan Rakyat selepas empat anggotanya keluar parti masing-masing untuk menyokong BN, Zambry berkata semua dasar kerajaan BN adalah untuk rakyat.

Katanya selepas Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan negeri pada Mac lepas, mereka telah meneruskan polisi yang digariskan kerajaan BN sebelum itu.

“Kamu perlu tahu bahawa banyak polisi yang mereka (kerajaan Pakatan Rakyat) umumkan itu adalah polisi BN. Sekarang ini sebagai kerajaan negeri yang baru, yang penting bukan mengenai polisi kami atau polisi mereka kerana kepentingan dan kebaikan untuk rakyat adalah keutamaan,” katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau mendapat sokongan majoriti rakyat Perak walaupun selepas Sultan Azlan Shah tidak perkenan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) ekoran kemelut politik yang melanda, beliau berkata:

“Ini adalah proses demokrasi. Adakah anda faham mengenai demokrasi? Adakah anda faham mengenai falsafah politik demokrasi?”.

Katanya Pakatan Rakyat yang sepatutnya ditanya berhubung sokongan majoriti rakyat Perak apabila mereka mula bercakap berhubung isu lompat parti sejak pilihan raya umum lalu.

Tiada ulasan: