Azamin Amin
"Inna-Allah ha ma'a sobirin," titah Sultan Perak kepada Nizar Jamaluddin yang bermaksud:'Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar'
4 Februari, Rabu
Tiada ungkapan terbaik melainkan kekaguman dan tersentuh jiwa tatkala melihat Nizar Jamaluddin yang begitu tenang dengan kalimah yang tersusun biarpun di kala menghadapi saat-saat penuh getir tika kerajaan BN dan Umno cuba merampas kembali Perak dengan cara tidak berakhlak.
Hari di mana seorang Adun DAP mengisyhtiharkan bebas, Adun Bota kembali ke Umno dan dua Adun KeADILan juga menjadi berpaling tadah manakala Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak dengan lagak angkuh mengisyhtiharkan Perak dikuasai BN tanpa mendapat perkenan terlebih dahulu daripada Paduka Seri Sultan Perak, Raja Azlan Shah.
Dalam kegawatan itu, Nizar bertemu pemerintah adil, Raja Azlan untuk memaklumkan situasi yang dicipta oleh Umno ke atas kerajaan Perak dan selepas itu Menteri Besar itu dengan senyuman dan raut wajah yang tenang, menyatakan bahawa Tuanku Raja Azlan Shah memetik baris ayat yang cukup indah kepadanya.
"Inna-Allah ha ma'a sobirin" titah baginda kepada Nizar yang bermaksud:'Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar'.
"Rakyat bertenang dan jangan bimbang, saya masih lagi Menteri Besar Perak dan menjalankan urusan harian dan pentadbiran negeri seperti biasa.Bahkan saya akan menghadiri majlis-majlis rasmi sambutan Jublki Perak Pemerintahan Tuanku selama 25 tahun," ujar Nizar kepada saya dan para wartawan yang menghimpitnya sejurus selepas selesai mesyuarat PAS di Pejabat Perhubungan PAS Perak jam 7.40 malam.
"Insya-Allah. Keputusan kini di tangan Tuanku dan saya percaya keputusan Tuanku adalah yang adil," demikian ucapan 'penutup' beliau selepas seharian melalui hari penuh mencabar dan genting.
Sebelum itu, ketika saya menunggu di pintu pejabat, Nizar walaupun di susuknya terpancar keletihan sempat menyapa saya yang terpingga-pinga menanti kehadirannya.
"Hah... masih di sini lagi?" tanya beliau tersenyum dan menyua tangan untuk bersalaman dengan saya yang agak gamam.Ya, kali terakhir bertemu beliau di kediaman rasmi Menteri Besar tahun lalu bagi mendapat gambaran kehidupan peribadi bersama keluarganya tercinta yang dirakamkan dalam artikel Harakah bertajuk:'Siapa Sangka Nizar jadi MB...'
Dulu, kini tidak berubah. Masih dengan suara lantang, kemas ayat dan tersusun bicaranya. Yang paling menyebakkan dada, ialah ketenangannya sebagai seorang pemimpin biarpun dilanda 'badai' menghempas dan 'api' marak mencabar.
Sebelum pulang, beliau sempat meminta maaf kepada para wartawan yang terpaksa seharian 'mengejarnya', menunggu dan terpaksa berhujan untuk mendapat jawapan daripadanya yang ketika itu berada di Istana Kinta.
"Saya minta maaflah kepada anda kerana terpaksa berhujan menunggu saya di luar istana. Saya percaya anda semua keletihan." katanya lantas meminta diri untuk solat Magrib.
Wartawan khususnya media alternatif, petugas PAS dan penyokong yang sudah berada di sekitar pejabat yang semakin ramai kelihatan ceria mendengar penjelasan Nizar.
Suasana pekarangan pejabat cukup meriah dengan kehadiran pelbagai pihak dan individu.Orang ramai yang muncul entah dari mana memenuhi sekitar pejabat PAS. Ada yang berkopiah, berbaju biasa. Berpakaian 'rugged' pun ada.Tidak lupa orang Cina dan India yang datang, masing-masing mahu mendapat jawapan tepat situasi sebenar.
Pegawai Khas Menteri Besar Idham Lim membawa beberapa kampit beras untuk bekalan kepada pejabat PAS manakala tiba sebuah van 'catering' membawa makanan, lauk kari ayam dan sayur campur untuk dijamu kepada semua yang hadir tak kira siapa.
Kemudian tiba sepasukan 'Tentera Merah' Unit Amal Perak yang mula setia berkawal termasuk di hadapan kediaman rasmi Menteri Besar.Suasana sebenarnya aman. Tiada perhimpunan atau situasi huru-hara, dan tiada kawalan keselamtan oleh FRU atau anggota polis di Bangunan Kerajaan seperti digembar-gemburkan pihak tidak bertanggunjawab.
SMS bertubi-tubi dan panggilan rakan taulan, pimpinan PAS dan kaum keluarga kebanyakannya tidak dapat saya layani.Maafkan saya...
Ketika itu saya sibuk berurusan dengan Ketua Pengarang Kumpulan Ahmad Lutfi Othman, penyunting Mohd Khalil dan Ketua IT Harakah Hirman Firdaus bagi memaklumkan perkembangan terkini untuk di siarkan sebagai berita terkini di Harakahdaily.
Sedang menjamu selera, Timbalan Presiden PAS Ustaz Nasharuddin menghubungi saya untuk memberitahu kepada semua penyokong PAS, Pakatan Rakyat dan penduduk Perak melalui berita siaran Harakahdaily supaya bertenang dan tidak percaya kepada propaganda jahat untuk mencetuskan suasana huru-hara.
Selesai segala urusan, lewat malam saya pulang ke Kuala Lumpur dengan mendapat suntikan semangat setelah melihat watak dan karisma yang ditonjolkan oleh seorang pemimpin Islam dan pentadbir negeri Nizar Jmaluddin yang dikagumi masyarakat dan rakyat yang bersimpati dan menyatakan sokongan tanpa belah bahagi.
Hari sebelumnya 3 Februari- Selasa
Tiba di Taiping jam 2.00 pagi dari kediaman rasmi Menteri Besar Perak untuk mendapat laporan terkini di mana di situ diadakan Mesyuarat Lajnah Politik PAS yang dipengerusikan Timbalan Presiden PAS dan Exco negeri yang diadakan jam 10 malam.
Selepas solat subuh pagi yang sama, saya melintasi kawasan Changkat Jering untuk mendapat laporan terkini suasana sekitar dan tinjaun umum.Ketika di sana saya menemui beberapa orang penduduk di Jalan Air Kuning, mereka kini menanti kepulangan Adun untuk mendapat penjelasan kenapa bersikap membelakangkan pengundi di situ dan tidak 'turun' kawasan sejak sekian lama.
Saya juga sempat 'mencuri' dengar perbualan tiga lelaki di sebuah warung di Simpang Taiping, dan teruja dengan idea unik dan 'sarkastik' mereka bahawa mahu meraikan kepulangan Adun mereka dengan kasut!
Sama seperti tindakan wartawan Iraq kepada Presiden Amerika George W. Bush yang telah 'merosakkan' kestabilan negara tersebut.
Selain itu, bergegas saya bertemu dua Yang Dipertua PAS iaitu dari kawasan Bukit Gantang Ustaz Mohammad Nordin Jaafar dan Yang DiPertua kawasan Taping Bandar Haji Abdul Halim Aziz seorang bekas Pengetua sekolah asrama penuh untuk meninjau perkembangan 'grass-root' dan rakyat kebanyakan tentang situasi yang berlaku.
Kata mereka, pengundi di sini sudah tidak sabar untuk menghadapi pilihan raya umum negeri Perak supaya bakal pemimpin yang dipilih nanti terbukti bersih dan tidak sibuk dengan agenda 'lompat' parti.
"Kerana mereka tamakkan kuasa dan wang, harapan dan nasib rakyat tidak diambil peduli lagi," kata sesama mereka.
Menjelang tengah hari, saya menemui pula seorang aktivis Pakatan Rakyat di Taman Simpang, Taiping yang sedang uzur kerana ditimpa kemalangan menyebabkan beliau terlantar di biliknya. Rupanya Kejadian 'dilarikan' atau 'disembunyikan' oleh Umno bukanlah fenomena yang mengejutkan bahkan ianya insiden yang telah awal berlaku tertuma sebaik sahaja mahu menubuhkan kerajaan negeri.
Demikian diceritakan kembali aktivis tersebut yang beberapa kali pernah berjumpa dengan Adun Changkat Jering Osman Jalu.
"Ini bukan kejadian pertama. Sejak 8 Mac, dia telah 'dilarikan' oleh pihak tertentu banyak kali dan dia juga ada beritahu khuatir dengan pelbagai ancaman. Dia sendiri pernah jelaskan kepada pengundi di sini di masjid dan di ceramah bahawa beliau tak akan akan melakukan rasuah atau berpaling tadah," katanya.
Adakalanya sukar untuk menemubual penduduk dan aktivis PAS kawasan melainkan diperkenalkan dengan kad pas media malah ada antaranya terlebih dahulu mahu mendapat pengesahan (clearance) pihak-pihak yang tertentu dalam parti bahawa yang mewawancara mereka adalah yang sah 'Azamin Amin' dan bukanlah satu bentuk penyamaran di kalangan Umno ataupun pasukan keselamatan.
Sebelah petang sedang saya menyiarkan berita-berita eksklusif, saya dihubungi seorang 'informer' mendedahkan watak sebenar siapa Jamaluddin Mohd Radzi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang yang 'menikam' belakang itu.
Katanya Jamaluddinlah dalang yang menyebarkan dan menjaja dakyah Nizar merupakan Menteri Besar 'boneka DAP' dan 'boneka Cina' sejak penubuhan kerajaan negeri Pakatan Rakyat berjaya ditubuhkan.
"Ketika hilang, dia menghubungi beberapa Adun KeADILan untuk turut serta bersamanya dan kini kita sedang memantau pergerakan itu manakala Osman walaupun pada asasnya dia ok, dia seorang yang tiada pendirian. Dia adalah orang Jamaluddin dan hanya mengikut sahaja," katanya.
Selesai mendapat bahan itu, saya pun siarkan di Harakahdaily dan kemudian berangkat ke bandar Taiping untuk menunaikan solat Maghrib di salah sebuh masjid di sini.
Solat hajat selamatkan Perak
Wah!Hebat! Getus hati saya tatkala melihat lebih 700 orang mendengar kuliah seorang pendakwah bebas yang saya kira sukar dilihat pemandangan itu di masjid bandar-bandar lain. Ianya bukan markas atau ceramah PAS. Selesai solat Isyak, mereka kemudiannya menunaikan solat hajat 'Selamatkan Kerajaan Negeri Perak dan lindungi penduduk Gaza.'
Mata cukup-cukup mengantuk, apatah lagi badan sudah ketar akibat tidur tidak cukup dan makan tak menentu. Jangan manjakan sangat, bisik hati saya sambil mengenangkan penderitaan orang yang lebih parah lagi kehidupannya seperti di Mindanao, Filipina dan Gaza, Palestin.
"Bagaimana nak makan dan tidur, jika santapan mereka ialah dentuman bom dan letusan peluru bertalu-talu," kata hati insaf.
Saya kemudiannya menyiapkan bahan-bahan itu sehingga jam 3.00 pagi sekaligus menyiarkannya melalui Harakahdaily namun keesokan harinya jam 10.00 pagi saya diminta unuk 'menghilangkan' berita-berita itu kerana dianggap 'bahaya' dan berisiko tinggi.Ketika itu saya sedang memandu ke Ipoh semula.
Walaupun penat namun saya faham para pimpinan PAS dan Harakah sentiasa memerhati pergerakan dan 'melindung' saya daripada ancaman bahaya termasuk kepada penyokong-penyokong perjuangan Islam. Niat saya menyiarkan berita bukan untuk mendedahkan kepada ancaman bahaya, tetapi mahu meraikan perjuangan Islam dan menyuntik semangat pendokong baik kepada rakyat bawahan mahupun pemimpin atasan. Segala keterlanjuran harap dimaafi.
Ya, kini saya tinggalkan bandar Taiping dengan segera, mana tahu ada pihak-pihak yang mengekori.
Saya tidak sempat untuk singgah ke kawasan Behrang untuk meninjau bahan eksklusif daripada sana kerana kesuntukan masa. Mungkin di lain ketika, saya akan menyelinap sekali lagi ke pelusuk kampung untuk mendengar kisah masalah displin di tempat kerja Jamaluddin sebelum ini, sehingga berhenti dan menyertai poltik dan kemudiannya berpaling tadah sampai ada yang mengatakannya berkualiti rendah!
Sama ada yang dimaksudkan itu ialah kasut, minda atau rasuah...walllahualam, kita tunggu dan lihat. Takbir! - azm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan