Jimadie Shah Othman
Seorang penyajak terkenal tanahair, Dr Ibrahim Ghaffar turut menerima surat tuntutan guaman dari exco kerajaan negeri Selangor, Teresa Kok yang mendakwa karyanya yang disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia pada 16 Otober tahun lalu berunsur fitnah terhadap ahli Parlimen Seputeh itu.
Surat guaman tersebut yang bertarikh 9 Januari lalu, dihantar oleh firma guaman S N Nair & Partners. Turut menerima surat tersebut ialah Utusan Melayu (M) Bhd.
Ahli parlimen Seputeh itu mendakwa syarikat itu, melalui akhbar Utusan Malaysia, telah menyiarkan pada 16 Oktober tahun lalu, sajak tulisan Dr Ibrahim yang didakwa memfitnahnya.
Sajak tersebut didakwa memberikan kesan kepada anak guamnya sama ada secara langsung atau tidak langsung, melalui sindiran (innuendo) atau tuduhan (imputation), atau implikasi, merujuk kepada Teresa.
Sajak tulisan Dr Ibrahim itu bertajuk "Ratu Anjung; Yang Melengking Itu (Panggak Binasa Terlajak Kata)".
Tulisan itu juga didakwa bermaksud atau difahami bermaksud bahawa Teresa seorang yang bersikap perkauman, taksub agama, tidak boleh dipercayai, tidak bertolak ansur, tidak berprinsip, tidak berintegriti, anti-Islam dan anti-Melayu, telah melakukan kesalahan jenayah di bawah Kanun Keseksaan dan undang-undang Malaysia yang lain, serta menjadi ancaman kepada masyarakat.
Jumpa peguam
Bertindak bagi pihak Teresa, firma guaman tersebut menuntut Utusan Melayu supaya menarik balik artikel berkenaan dengan segera, membuat permohonan maaf dan tidak mengulangi kata-kata, tuduhan dan komen sedemikian.
Menurut surat itu lagi, Teresa turut menuntut RM30 juta sebagai gantirugi - termasuk kos - kerana menjejaskan reputasi dan mengancam nyawanya.
Kedua-dua pihak diberikan tempoh tujuh hari untuk menjawab surat berkenaan atau tindakan mahkamah akan diambil terhadap mereka.
Dr Ibrahim ketika ditemui Malaysiakini dalam sebuah sidang media berkaitan isu bahasa di ibunegara berkata, beliau akan berjumpa dengan peguam Utusan Melayu hari ini bagi membincangkan tindakan lanjut berhubung tuntutan itu.
"Kenyataan lanjut akan dibuat oleh peguam," katanya.
Teresa pada 12 Disember tahun lalu, telah menfailkan saman terhadap penulis terkenal Datuk Chamil Wariya dan akhbar yang sama dengan jumlah tuntutan RM30 juta berhubung penerbitan cerpen 'Politik Baru YB J', Oktober tahun lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan