Selasa, 3 Februari 2009

Pengerusi JKKK Tunjuk Kuasa, Tidak Turunkan Tandatangan, Tampar Lelaki

Joe Blogawan


Kemaman – Pelbagai berita yang tidak sedap didengar telah dipaparkan sebelum ini berkaitan dengan entiti kerajaan negeri Terengganu peringkat paling bawah, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK).

Minggu lalu Menteri Besar Terengganu, Dato' Ahmad Said mengesahkan akan mengambil tindakan terhadap JKKK walaupun banyak yang telah diperkatakan dan ramai yang membuat laporan tentang penyewengan yang dilakukan oleh kakitangan kerajaan tersebut.

Sebelum ini kita sering mendengar Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung tidak mahu menandatangani sebarang dokumen atau borang kerana melabel seseorang anak qaryah sebagai penyokong pembangkang.

Namun lain ceritanya di daerah ini, seorang Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang menyelia tiga kampung di daerah ini bukan sahaja tidak menurunkan tandatangan malah menggunakan tangannya itu untuk menampar seorang lelaki yang datang ke rumahnya.

Lelaki yang datang untuk meminta tandatangan pengerusi JKKK tersebut malu dan sedih kerana beliau telah ditampar di hadapan kedua-dua anaknya yang berusia empat dan lima tahun sehingga menyebabkan kanak-kanak lelaki itu menangis melihat bapa mereka diperlakukan sedemikian.

Mat Zaid Tahar, 31, berkata dia kecewa dengan sikap Pengerusi JKKK yang menyelia tiga kampung berkenaan dan menyifatkan tindakan kakitangan kerajaan negeri itu sebagai menunjuk kuasa untuk mengaib dan menjatuhkan maruah orang kampung yang tidak berdaya.

Menurut Laman MyMetro, kejadian berlaku kira-kira jam 9 malam Rabu lalu selepas dia bertandang ke rumah lelaki berusia 60-an terbabit untuk memintanya menandatangani borang permohonan bantuan program aktiviti ekonomi tambahan Risda bapanya.

Apabila tiba di rumah Pengerusi JKKK berkenaan katanya, dia memberi salam dan naik ke rumah pemimpin masyarakat itu sambil memberitahu tujuan berkunjung.

“Sebaik saja memberitahu hajat kunjungan itu, lelaki terbabit terus memberitahu dia enggan menurunkan tandatangan dan saya menyangka ia satu gurauan.

“Saya sekali lagi memberitahunya dan meminta tolong, tetapi dia terus berkata dalam nada keras lalu menghayunkan tangannya ke pipi kiri dengan kuat menyebabkan saya terjatuh,” katanya.

Ekoran kejadian itu, dia tersungkur di hadapan dua anak lelaki berusia empat dan lima tahun.

Dia yang kecewa dengan kejadian itu membuat laporan polis kira-kira jam 10.30 malam pada hari sama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Sani Salat mengesahkan mengenai laporan itu dan memberitahu kejadian disiasat mengikut seksyen 323 kerana sengaja mendatangkan cedera.

“Siasatan kes sedang dijalankan dan keterangan kedua-dua pihak dikumpulkan untuk membantu siasatan,” katanya.

Tiada ulasan: