Khamis, 12 Februari 2009

Karpal disiasat polis lebih 2 jam

Abdul Rahim Sabri & S Pathmawathy
(dikemaskini)


Pengerusi DAP disiasat polis lebih dua jam berhubung kenyataan beliau yang dianggap mempertikaikan keputusan Sultan Perak memecat menteri besar Pakatan Rakyat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Karpal Singh dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur mulai 6 petang tadi untuk memberi keterangan berhubung dua laporan polis yang dibuat terhadapnya di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Tambahnya, satu laporan tersebut – di Seberang Perai Tengah – dibuat berhubung kenyataannya "jangan main-main dengan saya", mengulas pihak-pihak yang membuat aduan polis susulan hasratnya menfailkan saman terhadap Sultan Azlan Shah, Jumaat lepas.

"Saya tidak mengganggu mereka, mereka yang mengganggu saya," kata Karpal dalam sidang media sejurus selepas keluar dari bangunan.

Sehubungan itu, beliau menafikan membuat sebarang kesalahan.

"Terpulanglah kepada peguam negara untuk mengambil tindakan ke atas saya.

"Saya tidak membuat apa-apa kesalahan. Saya suarakan demi kepentingan negara dan rakyat," katanya.

Peguam terkenal itu juga melahirkan rasa kesalnya kerana lebih 84 aduan polis dibuat terhadapnya dalam tempoh tidak sampai seminggu.

Beliau menyifatkan aduan-aduan polis itu tidak berasas dan palsu.

84 laporan terhadap Karpal

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman berkata, lebih 84 laporan polis telah dibuat terhadap Karpal di seluruh negara.

Bercakap dalam satu sidang akhbar, Muhammad Sabtu membidas Karpal kerana didakwanya telah membuat kenyataan tidak benar mengenai pasukan polis.

Beliau merujuk kepada dakwaan Karpal bahawa pihak polis 'bekerjasama' dengan orang ramai yang memprotes di luar pejabatnya.

Muhammad Sabtu berkata, Karpal telah mendakwa anggotanya telah memberitahu beliau (Karpal), walaupun protes itu haram, tetapi mereka mendapat arahan dari pegawai atasan mereka supaya tidak menyuraikan orang ramai.

Sebaliknya, kata Muhammad Sabtu, anggota polis berada di sana untuk melindungi Karpal, kakitangan dan hartabendanya.

Beliau berkata, pihak polis telah menyiasat protes tersebut yang diadakan tanpa permit dan satu laporan polis telah buat mengenainya semalam.

Polis juga, katanya, telah mengenal pasti penganjur protes tersebut, iaitu Ketua Pemuda Umno Bukit Bintang, Tengku Azman Tengku Zainal Abidin.

Muhammad Sabtu berkata, penganjur dan mereka yang di sebalik protes tersebut akan dipanggil untuk disoalsiasat beberapa hari lagi.

Katanya lagi, jika Karpal membuat permohonan untuk mendapatkan perlindungan, pihak polis pasti akan menimbangnya.

"...bayangkan jika anggota polis tidak ada di sana untuk menjaga keamanan dan melindungi beliau (Karpal)... apa yang mungkin terjadi jika orang ramai bertindak liar?" soalnya.

Bagaimanapun, Karpal kemudiannya menolak kenyataan Muhammad Sabtu bahawa pihak polis tidak diarah supaya membenarkan demonstrasi itu diadakan.

"Protes bukan budaya kita, jadilah gentleman dan serah memorandum," katanya.

Tiada ulasan: