MALAYSIA KINI
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan supaya menyiasat segera sama ada syarikat perladangan dari Malaysia di Indonesia bertanggungjawab terhadap jerebu yang melanda Pulau Pinang sekarang, akibat aktiviti pembakaran di Sumatera.
Pada 23 Januari lalu, The Jakarta Post melaporkan wilayah Riau di Sumatera diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga memandangkan jerebu yang semakin tebal akibat pembakaran yang dilakukan di ladang dan hutan setiap tahun.
Dilaporkan bahawa angin telah membawa jerebu dari Sumatera, kata Presiden CAP, S M Mohamed Idris dalam satu kenyataan hari ini.
"Sehubungan itu, kami menggesa kerajaan Malaysia dan Indonesia mendedahkan kepada umum nama-nama semua syarikat yang bertanggungjawab melakukan aktiviti pembakaran.
"Ini akan menjadikan syarikat itu bertanggungjawab terhadap tindakan mereka.
"Tambahan lagi, syarikat itu juga perlu didakwa dan dikenakan bayaran pampasan terhadap kerosakan yang dilakukan serta menjejaskan kesihatan awam," tambahnya.
Mohamed Idris berkata, jerebu di Pulau Pinang juga turut disumbangkan oleh sumber tempatan.
"Berdasarkan pengalaman di masa lalu dengan berulangnya masalah jerebu, jelas menunjukkan tindakan yang tidak mencukupi diambil untuk mendakwa mereka yang bertanggungjawab kerana mencemarkan udara.
"Apa yang mengecewakan ialah tiada usaha bersepadu di seluruh negara dalam menangani sumber pencemaran tempatan secara lebih berkesan," tambahnya.
Sehubungan itu, katanya, pelaksanaan 'Pelan Tindakan Udara Bersih' yang digariskan oleh kerajaan, boleh membantu mengawal pencemaran udara dan mungkin boleh memainkan peranan dalam mencegah berulangnya keadaan jerebu ini.
"Kini tiba masanya untuk melaksanakan 'Pelan Tindakan Udara Bersih' dengan lebih komprehensif dan mengambil langkah yang sewajarnya untuk mengawal pencemaran udara dan jerebu," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan