Selasa, 2 Jun 2020

Langkah pujuk Syed Saddiq gagal

Muhammad Azizul Osman
MGF10032020_ANGKAT-SUMPAH-KABINET11-681x454
Timbalan Menteri Belia Dan Sukan, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

PUTRAJAYA – Bekas pegawai Syed Saddiq, Senator Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal cuba memujuk bekas Ketua Armada itu untuk kekal bersama parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum ini.

Beliau berkata sebelum Kabinet baharu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dibentuk, beliau ada mengadakan pertemuan dengan bekas Menteri Belia dan Sukan itu namun usaha itu menemui jalan buntu.

“Saya telah berusaha pujuk Syed Saddiq sebelum tertubuhnya Kabinet lagi. Selalu bekas pegawai dan rakan baik beliau, saya berkali-kali hantar mesej kepada beliau.

“Malah dalam pertemuan singkat dengan Syed Saddiq sebelum pencalonan pemilihan parti kira-kira bulan Mac lalu, saya pergi ke rumah beliau. Itu kali terakhir saya berdepan dengan Syed Saddiq.

“Pertemuan itu untuk buat rundingan tentang hala tuju parti malangnya keputusan itu tidak dipenuhi dan Syed Saddiq terus menzahirkan perbezaan beliau yang asas terhadap hala tuju parti. Itu menyebabkan kami berenggang dari segi politik tapi tidak dari segi persahabatan,” katanya dalam sidang media di pejabatnya hari ini.

Wan Ahmad Fayshal pernah menjawat jawatan pegawai khas kepada Syed Saddiq semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Dalam pertemuan itu, beliau berkata, Syed Saddiq tidak bersetuju dengan perubahan haluan parti yang kini bekerja sama dengan UMNO dan Pas.

Maka disebabkan itu, Syed Saddiq digugurkan keahliannya dalam Bersatu.

“Kini hala tuju sudah berubah dan Syed Saddiq tidak bersetuju dengan hala tuju parti dan gugurlah taat setia saya kepada beliau.

“Itu tidak menafikan rasa hormat saya sebagai anak muda dan mantan pengasas Armada. Tiada yang peribadi tentang dia,” katanya lagi.

Selain Syed Saddiq, turut digugurkan keahlian parti adalah Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Dr Maszlee Malik serta Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: