Isnin, 16 September 2019

Zuraida mahu pertemuan khas dengan Anwar atasi perbezaan dalam PKR

Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin berkata, beliau hanya 
mahu satu pertemuan diadakan antara semua pemegang jawatan 
yang dipilih dengan Anwar.
 
GEORGE TOWN: Presiden PKR Anwar Ibrahim tidak boleh menafikan permintaan pemegang jawatan parti yang dipilih untuk mengadakan pertemuan khas dengan presiden bagi membincangkan hala tuju parti tersebut, kata naib presidennya, Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata, mesyuarat, yang tidak termasuk kalangan pemegang jawatan yang dilantik, akan menjadi saluran terbaik bagi Anwar untuk menyelesaikan apa-apa isu atau perbezaan yang timbul antara beliau dan beberapa pemegang jawatan yang dipilih.

“Kami semua hanya mahu satu pertemuan antara semua pemegang jawatan yang dipilih dengan presiden parti.

“Kami tidak mahu orang salah anggap kami untuk sesuatu yang tidak dapat kami sampaikan kepada orang awam.

“Kami harap presiden (Anwar) akan bersetuju untuk bertemu dengan kami,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan PKR Cabang Bagan, Jelutong dan Tanjung, di sini hari ini.

Beliau membuat kenyataan tersebut bagi menjelaskan ketidakhadirannya dalam beberapa mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP), yang menurutnya bukan jalan untuk membincangkan rekonsiliasi yang perlu dibincangkan hanya antara presiden dan pemegang jawatan yang dipilih.

“Saya mempunyai alasan yang baik untuk tidak menghadiri mesyuarat. Kami harus diberi peluang untuk bercakap (secara langsung kepada Anwar) bagi pihak penyokong kami…demi kebaikan parti,” katanya.

Zuraida, yang juga menteri perumahan dan kerajaan tempatan berkata, beliau tidak menolak kemungkinan parti pembangkang akan mengambil kesempatan daripada situasi yang kini dihadapi oleh PKR, tetapi yakin ia tidak akan menjejaskan parti itu sebagai sebahagian daripada kerajaan.

“Parti pembangkang tidak akan mendapat kelebihan. Parti lain juga mempunyai masalah sendiri,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau menyifatkan penyatuan antara Umno dan PAS menerusi pemeteraian Piagam Muafakat Nasional sebagai gimik politik dan langsung tidak memberi kesan kepada PKR sebagai parti berbilang kaum.

“Ia sekadar gimik politik (untuk mendapatkan sokongan dalam kalangan orang Melayu). Kamu juga ada orang Melayu, India, Cina dalam parti kami dan saya tidak bimbang mengenai kerjasama tersebut,” katanya.

Beliau mengulas mengenai piagam tersebut yang dimeterai Umno dan PAS pada Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Tiada ulasan: