Jumaat, 27 September 2019

DPPM mahu tertuduh kes Adib dipanggil semula

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

 

Keputusan inkues kembalikan keyakinan rakyat terhadap mahkamah

SHAH ALAM– Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa meningkatkan lagi siasatan dengan memanggil semula tertuduh yang terbabit dalam insiden kematian anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), Muhammad Adib Mohd Kassim.

Desakan dilontarkan Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) susulan tindakan Mahkamah Koroner hari ini memutuskan kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.

Ketua DPPM, Ahmad Fadhli Shaari berkata, polis perlu memanggil semula tertuduh yang pernah dilepaskan dengan segera seterusnya memulakan proses pendakwaan mahkamah.

“Kami juga menuntut Peguam Negara dipecat atau sekurang-kurangnya direhatkan untuk satu tempoh sehingga keadilan untuk Muhammad Adib berjaya dicapai.

“Selain itu, Peguam Negara tidak perlu membuat permohonan semakan semula atau rayuan terhadap keputusan inkues,” katanya kepada pemberita di luar Kompleks Mahkamah Shah Alam, di sini.

Terdahulu, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Muhammad Adib yang parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya tahun lepas adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui.

Mahkamah Koroner juga merumuskan kegagalan polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dalam mengawal rusuhan turut menyumbang kepada kematian Muhammad Adib.

Dalam pada itu, Ahmad Fadhli berkata, keputusan inkues itu sekurang-kurangnya melegakan hati rakyat dan mengembalikan keyakinan kepada fungsi mahkamah kerana dari awal lagi kebanyakan rakyat menggangap inkues tidak lebih daripada mengaburi mata dan menutup kelemahan untuk mencari pembunuh sebenar Muhammad Adib.

“DPPM melahirkan rasa syukur dan gembira dengan keputusan inkues walaupun wujud pengganggu yang datang daripada pihak-pihak tertentu sehingga beliau diputuskan telah menghina mahkamah,” katanya.

Pada 27 November lepas, Muhammad Adib yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, beliau menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lepas di Institut Jantung Negara (IJN).


Tiada ulasan: