Sabtu, 12 Ogos 2017

PRU14: Umno komited letak lebih ramai calon wanita

 
Ahmad Zahid berkata sudah tiba masanya lebih ramai wanita diketengahkan sebagai anggota parlimen, anggota dewan undangan negeri malah sebagai menteri selaras dengan negara yang sudah mencapai 60 tahun kemerdekaan.


zahid-umno

BATU PAHAT: Umno komited dalam memastikan lebih ramai wanita ditampilkan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi mencapai hasrat 30 peratus kaum wanita sebagai pembuat dasar, kata Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang menjalankan tugas sebagai timbalan presiden Umno berkata sudah tiba masanya lebih ramai wanita diketengahkan sebagai anggota parlimen, anggota dewan undangan negeri malah sebagai menteri selaras dengan negara yang sudah mencapai 60 tahun kemerdekaan.

“Dalam mencapai 60 tahun merdeka, kita harus berubah minda dan sikap berhubung wanita. Apabila wanita bekerja kuat, jangan puji mereka (wanita) secara retorik sebaliknya beri mereka peluang untuk bertanding pada PRU.

“Bagi mereka kedudukan kerana wanita hari ini telah berada di peringkat profesional dan boleh membuat keputusan yang baik di negara ini,” katanya berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Parit Sulong di Maktab Rendah Sains Mara Batu Pahat, di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata dalam situasi dunia tanpa sempadan dan langit terbuka ketika ini, ramai pemimpin wanita di dunia Islam sudah mula melakukan perubahan.

Malaysia juga sedang menggerakkan usaha menggalakkan peranan wanita dalam kerajaan, katanya.

“Perdana Menteri Bangladesh… ada Khaleda Zia, Presiden Indonesia, Megawati Sukarnoputri dan Thailand juga pernah memiliki perdana menteri wanita.

“Insya-Allah, Speaker Parlimen Singapura Halimah Yacob juga akan menjadi Presiden Singapura… sama-sama kita doakan,” katanya.

Beliau yang berpandangan Malaysia perlu mengambil langkah proaktif dalam memartabatkan wanita turut meminta Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin supaya meneliti calon wanita yang sesuai bagi bertanding di kerusi parlimen dan dewan undangan negeri di negeri ini.

“Mohamed Khaled kena tengok supaya ada wanita calon parlimen atau ADUN. Saya bagi sokongan kepada Mohamed Khaled,” katanya.

Tiada ulasan: