Khamis, 3 Ogos 2017

Polis Thailand tumpas penyeludupan dadah bernilai RM100 juta ke Malaysia

 
Dadah jenis ‘Ice’ itu berjaya dirampas selepas tertangkapnya anggota sindiket yang menyeludupnya melalui Sungai Golok.


drug


BANGKOK: Polis Thailand menggagalkan cubaan seludup 400 kg “Ice” (Methaphetamine) ke Malaysia yang dianggarkan bernilai 804 juta Baht (RM100 juta) dengan tertangkapnya 11 anggota sindiket termasuk 3 wanita pada 28 dan 31 Julai.

Tiga suspek, 2 beradik perempuan berumur 20 dan 28 tahun serta seorang rakan lelaki mereka berusia 43 tahun yang sering membuat perjalanan ke Malaysia ditangkap di Hatyai pada 31 Julai.

“Ketiga-tiga suspek adalah sebahagian daripada anggota sindiket itu yang giat menyeludup dadah melalui Sungai Golok.

“Berdasarkan dokumen perjalanan mereka, ketiga-tiga suspek berkenaan didapati kerap berkunjung ke Malaysia,” kata ketua Biro Pencegahan Narkotik (NSB) Lt Jen Sommai Kongvisaisuk kepada Bernama hari ini.

Menurut beliau, 3 suspek yang ditangkap di Hatyai itu berasal dari Narathiwat dan memainkan peranan penting dalam kegiatan menyeludup dadah ke Malaysia.

Sommai berkata dadah berkenaan yang dibungkus kemas dan dilabel sebagai produk teh diisi ke dalam 4 kenderaan pacuan 4 roda sebelum diseludup ke Thailand dari Laos.

Katanya, sebaik menerima maklumat risikan, sekumpulan pegawai menahan kenderaan itu pada pukul 4 pagi 28 Julai di sebuah pusat peranginan di wilayah Khonkaen berhampiran sempadan Laos dan menahan 5 warga Thailand terdiri daripada 4 lelaki dan seorang wanita.

Suspek berkenaan berumur di antara 22 hingga 47 tahun berasal dari Nong Khai dan Petchaboon, daerah di utara dan timur laut Thailand.

“Mereka merancang membawa dadah itu dari Nong Khai ke bahagian tengah Thailand dan Hatyai, sebelum menyeludupnya menyeberangi sempadan ke Malaysia,” katanya sambil menjelaskan 3 suspek ditahan di Hatyai dalam operasi susulan berikutan penangkapan 5 suspek itu.

Menurut Sommai, dalam satu lagi operasi susulan, 3 rakyat Thailand ditahan di Nong Khai dan Rayong.

Katanya, pihak berkuasa merampas pelbagai aset milik sindiket berkenaan seperti plot tanah, rumah, kereta dan akaun bank bernilai 18 juta Baht (RM2.25 juta).

Tiada ulasan: