Selasa, 1 Ogos 2017

Najib pikat Melayu Terengganu menerusi PAS

AKHBAR RAKYAT



PERDANA Menteri Najib Razak berharap untuk mendapatkan sokongan pengundi Melayu di Terengganu dengan mewujudkan lebih banyak peraturan Islamik di kawasan awam sekitar negeri itu dengan harapan dapat mengambil hati PAS, kata laporan.

Antara contoh strategi itu ialah membuka panggung wayang pertama di negeri itu, lengkap dengan kamera inframerah untuk memantau pasangan yang menonton wayang.

Usaha Umno untuk memujuk ulama Islam, berunsurkan politik di negeri konservatif Terengganu, yang berada di bawah pentadbiran kerajaan persekutuan tetapi dijangkakan persaingan sengit bakal berlaku antara BN dan PAS pada pilihan raya umum akan datang.

Terengganu ialah pusat kerohanian PAS di mana presidennya Abdul Hadi Awang berasal. Parti itu mempunyai tiga daripada lapan kerusi persekutuan di negeri itu, sementara Umno ada empat.

“Isu kaum, bangsa, bahasa Melayu dan Islam terutamanya amat dekat di hati orang Melayu,” kata profesor pengajian politik dan antarabangsa di Universiti Utara Malaysia, Mohamed Mustafa Ishak.

“Dengan bekerjasama menegakkan Islam, sama ada menerusi pelaksanaan undang-undang syariah atau mengukuhkan kedudukan Islam dalam pentadbiran, ia akan memberi kebaikan kepada kedua-dua parti,” katanya dipetik daripada Bloomberg.

Usaha Najib untuk memikat lebih banyak undi Melayu luar bandar menerusi PAS menyebabkan beliau memberi laluan kepada Hadi untuk memperkenalkan undang-undang memperkasakan kuasa mahkamah syariah di seluruh negara.

Pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) atau RUU akan meningkatkan hukuman penjara dan sebatan bagi kesalahan syariah.

Sebagai balasannya, Hadi muncul bersama Najib di beberapa acara umum pada tahun lalu.
“PAS fleksibel,” kata anak lelaki Hadi, Muhammad Khalil, 40, yang juga pengarah nasional sayap Pemuda PAS.

“Kami sanggup bekerjasama dengan mana-mana pihak atau parti. Apa yang penting ialah ia memberi manfaat kepada Islam dan Melayu Islam,” katanya di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur, bulan lalu.

PAS pernah bekerjasama dengan Umno apabila ia menyertai gabungan Barisan Nasional pada 1972 tetapi disingkirkan lima tahun kemudian. Pada 1981, Hadi diterjemahkan sebagai berkata umat Islam yang menyokong Umno, jadi kafir, dan anaknya kemudian berkata kenyataan itu diambil terkeluar daripada konteksnya.

Sementara pendekatan Najib memujuk PAS mungkin memberikannya tambahan undi, penganalisis berkata langkah itu berisiko dalam negara yang mempunyai masyarakat Cina dan India yang besar.

Mengutamakan pengundi Islam akan sangat membahayakan keharmonian Malaysia, kata penasihat utama Pusat Penyelidikan Pacific Malaysia, Oh Ei Sun.

Penyatuan antara Umno dan PAS perlu dikendalikan dengan berhati-hati, kata Pesuruhjaya PAS Kuala Terengganu Wan Sukairi Wan Abdullah.

“PAS seperti Hamas,” katanya merujuk kepada organisasi fundamentalis Palestin.

“Dan Umno sama seperti Donald Trump. Kedua-duanya tidak boleh bercampur. Tetapi kemesraan itu strategi baharu, hasil daripada politik matang.

“Kami bekerjasama demi rakyat dan Islam, itu yang penting,” katanya

Tiada ulasan: