Selasa, 1 Ogos 2017

Lepasan Vokasional boleh sambung pengajian ke peringkat lebih tinggi

ISMA WEB
 

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya mengadakan intensif untuk mensasarkan pelajar lepasan diploma Kolej Vokasional (KV) melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Bagi pelajar KV 2012 hingga 2016 lepasan diploma layak memohon melanjutkan pelajaran ke IPTA seperti surat yang telah dikeluarkan oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, Selasa.

Dalam pada itu, Mahdzir berkata, pihak Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) juga telah selesai membuat verifikasi dan akreditasi program diploma di 15 KV di seluruh negara.

“Kementerian Pendidikan mensasarkan akreditasi penuh daripada MQA pada Disember 2017. MQA telah selesai tugasnya membuat penilaian 16 program diploma yang terdapat di KV,” katanya.

Mahdzir juga menjelaskan, setakat ini lepasan graduan diploma KV telah berjaya mencapai objektif utama kerajaan untuk mendapatkan tenaga kerja separuh mahir dan mahir dalam jangka masa cepat di beberapa bidang tertentu.

“Setakat ini kebolehcapaian graduan pada batch pertama Ogos 2016 telah berjaya mendapatkan pekerjaan.

“90 peratus daripada 2273 graduan ini telah mendapat pekerjaan di bidang yang mereka pelajari, ini menunjukkan graduan KV diiktiraf oleh industri,” katanya menjawab soalan tambahan daripada Abdul Azeez yang bertanyakan potensi lepasan graduan ini dalam memenuhi pasaran kerja.


Tiada ulasan: