Ahad, 6 Ogos 2017

Isu ‘culik’ pengundi: Pengerusi MIC Perak didapati bersalah

B Nantha Kumar

Tindakan beliau merupakan satu jenayah kerana menipu SPR dan juga Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)

KUALA LUMPUR: Satu siasatan awam oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkenaan dakwaan limpahan pengundi baru di DUN Hutan Melintang mendapati perkembangan terbaru selepas Pengerusi MIC Perak V Elango didapati bersalah dengan memalsukan alamat kediaman.

Dalam siasatan awam yang julung kali diadakan itu, dipengerusikan oleh Pengerusi SPR Perak Mohd Nazri Ismail membuat keputusan bahawa Elango tidak boleh mengundi di DUN Hutan Melintang pada Pilihan Raya Umum yang akan datang.

SPR turut mengarahkan Elango bersama isteri dan dua anaknya perlu mengundi di tempat asal (Parlimen Lumut) selepas mendapati alamat diberikan sebagai tempat tinggal di DUN Hutan Melintang tidak sahih.

“Ini satu keputusan yang bersejarah. Dan saya berterima kasih kepada SPR walaupun, pada awalnya tidak begitu peduli dengan aduan saya,” kata S Kesavan yang juga merupakan Adun Hutan Melintang.

S Kasevan

Ketika dihubungi, ahli PKR itu yang turut menghadiri ke siasatan awam itu sebagai pembantah pertama berkata bahawa beliau percaya keputusan ini akan memudahkan proses mencegah pngundi ‘diculik’ ke satu kawasan ke kawasan lain.

“Harap, ramai pemimpin akan tampil ke hadapan untuk mendedahkan perkara sebegini,” jelasnya kepada Berita Daily.

Kesavan turut memberitahu bahawa beliau kini bersiap sedia membawa isu ini ke mahkamah.

“SPR tidak mempunyai kuasa untuk menghukum Elango yang memalsukan alamat kediaman. Tetapi, tindakan beliau merupakan satu jenayah kerana menipu SPR dan juga Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” ujarnya.

“Maka, saya akan mengheret beliau ke mahkamah,” tegas Kesavan lagi.

Terdahulu, siasatan awam ini bermula pukul 10 pagi di Pejabat Kerajaan Perseketuan, Ipoh Perak.

Kesavan selaku pembantah pertama membangkit keraguan terhadap alamat kediaman Elango di Hutan Melintang.

Menurutnya, alamat rumah Elango, No 75, Taman Desa Bernam seperti yang tertera di senarai nama pengundi Suku Pertama 2017, adalah milik seorang berbangsa Cina.

Elango yangg hadir seorang diri bagaimanapun membantah dakwaan Kesavan, katanya beliau tidak tinggal Taman Desa Bernam sebaliknya Taman Desa Bernam Indah.

Setelah mengambil kira pembelaan kedua-dua pihak, SPR memutuskan nama Elango akan dicicirkan daripada senarai Suku Pertama 2017, DUN Hutan Melintang.

SPR juga mengarahkan Elango bersama 19 pengundi yang lain hanya boleh mengundi mengikut senarai asal.

Untuk rekod, seorang pembantah hanya boleh membuat laporan terhadap 20 pengundi sahaja.

Siasatan akan dilanjutkan sehingga minggu depan kerana masih terdapat 18 pembantah dengan jumlah laporan terhadap 336 pengundi yang dikatakan ‘diculik’ ke Hutan Melintang.

Mengikut Rang Daftar Pemilih Suku Pertama 2017, jumlah pengundi yang berdaftar di Hutan Melintang melebihi 3,400 orang. Ini termasuk pengundi tukar alamat.

Berita Daily  tidak dapat menghubungi Elango untuk mendapat reaksi beliau.

Tiada ulasan: