Khamis, 10 Ogos 2017

Forum NGO pro-Pas malam ini, AMK dan Armada tarik diri

ZIKRI ABDULLAH

Hasmi bercakap pada sidang media pemuda PH Kelantan di dataran pejabat Mara Kota Bharu.


Dua panelis forum pemuda di Kota Bharu malam ini mengisytiharkan menarik diri kerana mendakwa penganjur gagal mengurus program dengan baik.

Ketua Armada Kelantan, Asran Alias dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dr. Hafidz Rizal membuat pengumuman itu pada satu sidang media di dataran pejabat Mara Kota Bharu petang ini.

"Kami tidak dapat menerima keputuasan penganjur yang hanya menjemput Ketua AMK dan Armada dari Pakatan Harapan (PH).

"Dua lagi pemimpin pemuda PH dari Amanah dan DAP mesti dijemput sama jika benar-benar ikhlas," kata Dr. Hafidz.

Satu lagi masalah yang ditimbulkan beliau ialah pemilihan moderator yang dianggap berat sebelah.
"Bagaimana kita nak terima seorang moderator yang terang-terang tidak adil.

"Sehari dua ini individu yang bakal jadi moderator ini terus menerus menghentam kami dari PKR dalam isu lantikan politik di Kelantan," katanya.

Sementara Asran Alias berkata cara program ini diatur hanya untuk memecahbelahkan kesepaduan pemuda PH.

"Saya dan AMK dijemput sedangkan pemuda Amanah dan Dapsy tidak dijemput.

"Ini tentu tidak adil dan satu cubaan melaga-lagakan kami," latanya.

Turut hadir dalam sidang media itu ketua pemuda Amanah Kelantan, Hazmi Hassan dan Ketua Dapsy Kelantan.

Forum bertajuk 'Kelantan ambang PRU14: Parti mana bela rakyat?' anjuran NGO Pertahan dijadualkan berlangsung malam ini.

Ketua-ketua pemuda parti peringkat negeri dari Pas, PPBM, PKR dan Umno disenaraikan sebagai ahli panel manakala Dr. Kamarul Zaman Yusoff dari UUM bertindak sebagai moderator.

Tiada ulasan: