Rabu, 9 Ogos 2017

Bersatu bawa undi dari blok Umno

ARIF ATAN

Bersatu Umno


Kerjasama Pakatan Harapan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad adalah perlu memandangkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dipengerusikan bekas Perdana Menteri itu akan menarik undi Melayu yang sebelum ini menyokong Umno.

Khalid SamadPengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad berkata, kerjasama tersebut sekurang-kurangnya meningkatkan peluang Pakatan Harapan untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

"Apabila Bersatu bersama Pakatan Harapan maka potensi dan kemungkinan menang adalah satu realiti. Pada masa sama, Bersatu juga tidak mungkin menang tanpa Pakatan Harapan.

"Undi Melayu yang dari blok menyokong Umno akan dibawa kepada Pakatan Harapan. Ini bermakna Pakatan Harapan akan menerima undi Melayu dari blok Pas melalui AMANAH dan dari blok Umno melalui Bersatu.

"Jumlah ini mungkin lebih dari jumlah yang dibawa lari Pas," jelasnya dipetik dari akhbar Amanah Edisi 62, 6 - 12 Ogos.

Mengulas tanggapan kemungkinan Mahathir akan mengkhianati Pakatan Harapan jika menang PRU-14, Khalid berpendapat hal itu masih tidak tentu berlaku sebaliknya apa yang pasti tanpa kerjasama tersebut harapan untuk menang amat tipis.

"Tiada sebab Bersatu perlu kembali kepada Umno-BN sekiranya mereka melihat Pakatan Harapan mempunyai potensi untuk menjadi sebuah kerajaan yang bersih dan cekap tanpa terkorbannya kedudukan orang Melayu.

"Lebih-lebih lagi sekiranya jumlah kerusi yang dimenangi Pakatan Harapan adalah begitu menyeluruh," ujar Ahli Parlimen Shah Alam itu.

Menurutnya, keadaan Bersatu tidak sama seperti Umno dalam BN sehingga memungkinkan PPBM tidak akur dengan pimpinan Pakatan Harapan atau mengulangi cara kepimpinan lama seperti semasa era pentadbiran Mahathir sebelum ini.

"Dalam BN, Umno sahaja parti Mealyu. Umno bertanding hampir semua kerusi majoriti Melayu sekali gus jumlah kerusi yang dimenangi menyebabkan Umno boleh mendominasi BN.

"Dalam Pakatan Harapan bukan hanya Bersatu parti orang Melayu. Kerusi majoriti Melayu akan dikongsi Bersatu bersama AMANAH dan KeADILan.

"Dalam keadaan ini tidak mungkin Bersatu akan bertanding 100 kerusi sepertimana dilakukan Umno. Oleh itu, Bersatu tidak akan mampu bertindak sebagai 'diktator' dalam Pakatan Harapan sepertimana Umno dalam BN," jelas Khalid lagi.

Tiada ulasan: