Khamis, 3 Ogos 2017

Belum lepas jawatan kerana ada 'sebab tertentu' - Pengerusi PKR Kelantan

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Proses peletakan jawatan kesemua wakil PKR dalam kerajaan negeri Kelantan masih belum selesai ekoran 'sebab-sebab' tertentu.
 
Pengerusi PKR negeri, Abd Aziz Abd Kadir berkata, beliau tidak boleh menjelaskan masalah atau sebab kenapa mereka masih tidak melepaskan jawatan.
 
Walau bagaimanapun Abd Aziz berkata, proses itu sedang berjalan.
 
“Kita masih belum melepaskan jawatan (lantikan politik di Kelantan). Proses tersebut sebenarnya masih berjalan. Kita ada sebab tertentu yang tidak boleh saya jelaskan,” katanya dipetik Utusan Online.
 
Semalam Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata kerajaan negeri masih belum menerima sebarang surat peletakan jawatan daripada wakil PKR, biarpun Presiden parti itu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyatakan ia akan diselesaikan akhir Julai.
 
Bagaimanapun kata Mohd Amar, kerajaan PAS Kelantan akan terus memberi ruang kepada lantikan politik PKR di negeri itu memegang jawatan masing-masing sekurang-kurangnya sehingga habis penggal pilihan raya.
 
Untuk rekod, pada 16 Mei lalu, Biro Politik PKR memutuskan supaya semua lantikan politik partinya dalam kerajaan negeri pimpinan PAS itu dilepaskan berkuatkuasa serta-merta, susulan keputusan PAS memutuskan tahaluf siyasi antara mereka.
 
Pada 9 Jun lalu, Wan Azizah pula dilaporkan berkata, kelonggaran telah diberikan dan PKR menjangkakan kesemua lantikan politik berkenaan berbuat demikian menjelang akhir Julai.
 
 

Tiada ulasan: