GEORGE TOWN: Pembentukan barisan kepimpinan Pakatan Harapan dilihat
tidak mampu “mengagumkan” masyarakat untuk menjadi pesaing Barisan
Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, usaha
membentuk pakatan itu hanya untuk melihat penerimaan orang Melayu
terhadap kepimpinannya.
“Pada saya, nak buat (pembentukan barisan kepimpinan) itu untuk bagi
masyarakat tengok kami ini dalam satu komponen Pakatan Harapan.
“Kita nampak mereka cuba nak tengok orang Melayu boleh terima inilah bentuk kepimpinan Pakatan Harapan.
“Saya tak nampak dia mampu ‘impress’ masyarakat untuk melihatnya
sebagai salah satu daripada gabungan dapat bersaing dengan BN dalam
PRU14,” katanya pada mesyuarat perwakilan Pemuda dan Puteri Umno
Bahagian Bayan Baru, malam tadi.
Khamis lalu, Pakatan Harapan terdiri daripada PKR, DAP, Amanah dan PPBM
mengumumkan struktur kepimpinan barunya dengan menamakan Datuk Seri
Anwar Ibrahim sebagai ketua umum, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai
pengerusi dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai presiden.
Mengulas struktur kepimpinan baru itu, Mahdzir yang juga menteri
pendidikan berkata, pelantikan 3 “ketua” jelas menunjukkan gabungan itu
tidak mempunyai persefahaman kerana masing-masing mempunyai agenda
tersendiri.
Beliau berkata, berbeza dengan BN, walaupun mempunyai 13 parti
komponen, parti itu sepakat untuk taat setia kepada seorang pengerusi
yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Apa yang barangkali boleh saya sebut tidur di katil yang sama, tapi
mimpi lain-lain…mereka susah nak buat keputusan. Barangkali inilah yuang
dipersetujui mereka sehingga tengah malam dalam rundingan dan mesyuarat
Pakatan Harapan,” katanya.
Sementara itu, berucap merasmikan mesyuarat itu, Mahdzir berkata, Umno
tidak perlu gentar, takut atau rendah diri dan akan terus memerintah
negara selepas PRU14.
“Umno memerintah negara ini sejak 60 tahun lepas dan menentukan semua
dasar di negara ini dan selepas 60 tahun, kita telah membuktikan Umno
mampu memerintah negara tanpa sebarang masalah,” katanya.
Beliau berkata, semua ahli Umno perlu terus menunjukkan solidariti agar negara terus diperintah parti itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan