PAS mesti ada cita-cita untuk menjadi kerajaan
yang akan memerintah negara dengan Islam, bukan sekadar berpuas hati
sebagai sebuah parti politik Islam.
Demikian ditegaskan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan
ketika membentangkan kertas kerja pada Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden
PAS bertempat di Kompleks PAS Perlis, Kangar.
Menurutnya, sejak dahulu lagi ada kemahuan yang amat tinggi dalam
kalangan masyarakat untuk melihat negara ini diperintah menurut Islam.
Justeru, ujar beliau, para alim ulama telah memulakan usaha
mengadakan pertemuan dan perbincangan bagi mencari kaedah yang sesuai ke
arah merealisasikan hasrat tersebut dan akhirnya mereka telah bersetuju
menubuhkan PAS sebagai sebuah parti politik yang akan memperjuangkan
Islam di negara ini.
Tambah beliau lagi, sejajar dengan usianya serta kekuatan yang
dimiliki, PAS tidak lagi boleh berasa selesa bergerak sebagai sebuah
parti politik, sebaliknya perlu bersedia memikul tanggungjawab sebagai
pemerintah (kerajaan) yang akan memerintah mentadbir negara mengikut
panduan Islam, sekiranya diberi peluang oleh Allah SWT memenangi pilihan
raya umum nanti.
"Kita mempunyai tanggungjawab yang lebih besar, daripada kita sekadar
membawa mesej ini (Islam) secara dalaman melalui parti kita, kita juga
mesti ada hasrat untuk menjadi badan siasah yang mampu untuk memimpin
masyarakat di peringkat kerajaan, sama ada negeri mahupun di peringkat
negara.
"Itu perancangan yang perlu kita ada, bukan setakat kita menjadi
parti politik, kerana usia parti kita sudah menjangkau 66 tahun.
"Saya kira, bukanlah satu jangkamasa yang pendek (66 tahun), parti
kita ini sudah berada dalam arus perdana politik negara kita, kita sudah
memerintah beberapa buah negeri, membuktikan PAS merupakan satu wadah
politik yang mampu memimpin rakyat lebih-lebih lagi kita memimpin
berteraskan kepada Islam yang suci," ujarnya yang juga Ahli Parlimen
Kota Bharu.
Beliau turut menggesa seluruh pendukung dan penyokong PAS agar
sentiasa berpegang teguh dengan aqidah tauhid dan menolak sebarang
bentuk fahaman (ideologi) yang bercanggah dengan Islam agar menjadi
manusia yang sentiasa tunduk kepada Allah SWT meskipun setelah diberi
kekuasaan nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan