KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda
UMNO, Khairy Jamaluddin menyifatkan bekas Perdana Menteri Tun Dr.
Mahathir Mohamad dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan
tokoh perpecahan orang Melayu dalam politik kerana ‘berjaya’ mewujudkan
pelbagai parti serpihan bagi menentang UMNO sejak dahulu lagi.
Katanya, setiap kali adanya perpecahan
orang Melayu, watak kedua-dua mereka pasti ada dan sudah tiba masanya
untuk mereka berundur daripada politik.
“Kedua-dua mereka juga merupakan bekas
Presiden dan Timbalan Presiden UMNO satu ketika dahulu. Timbalan itu
juga yang pernah dipecat dan dipenjarakan sendiri oleh Presiden hingga
berlakunya perpecahan orang Melayu sehingga hari ini. Kini mereka sudah
‘berbaik’ atas dasar menyelamatkan diri kerana takut dengan kebenaran
yang akan terbongkar terutamanya isu skandal kerugian Bank Negara ketika
kedua-duanya menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika
merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO
Bahagian Wangsa Maju di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Dr. Mohd. Shafei Abdullah.
Khairy berkata, ‘ketokohan’ Dr. Mahathir
dan Anwar juga boleh dikaitkan dengan watak Penasihat DAP Lim Kit Siang
yang juga antara yang bertanggungjawab dalam perpecahan kaum melibatkan
orang Melayu dan Cina.
Menurutnya, watak kesemua mereka perlu segera dihentikan kerana ia mengundang perpecahan dalam kalangan rakyat.
“Wajib bagi semua ahli UMNO untuk
menolak kesemua mereka dan mengajar mereka dengan kekuatan UMNO serta
Barisan Nasional (BN) dengan memenangi pilihan raya akan datang,”
katanya.
Sementara itu, Khairy berkata, sudah
masanya untuk semua ahli dan pemimpin UMNO untuk mengubah diri untuk
lebih fokus dalam membantu rakyat dari pelbagai aspek terutamanya kepada
golongan menengah dan pertengahan.
Menurutnya, golongan tersebut tidak
mendapat banyak ‘bantuan’ daripada kerajaan seperti BR1M, pinjaman Mara
dan sebagainya hinggakan mereka merasa diri mereka tidak memerlukan
UMNO.
Tambahnya, setiap ahli UMNO perlu
menanam lima sikap utama bagi menarik masyarakat pasca moden ketika ini
dengan cara bersih, kompeten, prihatin, kontemporari dan juga berdaya
saing.
“Lima konteks itu perlu diserap oleh
setiap ahli dan pemimpin UMNO agar golongan itu tidak memandang rendah
kepada kita apabila melihat komitmen yang ditampilkan dalam
memperjuangkan orang Melayu,” katanya. – UTUSAN –
Tiada ulasan:
Catat Ulasan