Sabtu, 15 Julai 2017

Hukuman sebat: Amanah sokong agenda baik untuk Islam - Anuar

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic


SHAH ALAM: Amanah menyambut baik keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017), sambil menyifatkan keputusan yang dicapai sebulat suara itu tidak wajar dipertikaikan.    

Setiausaha Agungnya, Mohd Anuar Mohd Tahir berkata, Amanah berpendirian menyambut baik apa saja pendekatan yang membawa kebaikan kepada semua pihak khususnya umat Islam.

Justeru kata Anuar, tohmahan kononnya Amanah menentang Islam sebagaimana yang pernah dilemparkan terhadap mereka bersabit pendirian terhadap Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 sebelum ini, ternyata tidak benar sama sekali. 
    
"Fitnah kata kita (Amanah) ini menentang Islam, Amanah mengkhianati Islam, jadi alat parti bukan Islam, ternyata tidak benar.

"Kita didalam hal yang baik dan atas nama Islam, dan dalam konteks negeri Kelantan yang majoritinya beragama Islam, wakil-wakil rakyatnya memutuskan untuk melaksanakan pentadbiran Islam dan berlandaskan syariat menurut apa yang mereka mahukan. Kita kena hormat.

"Kita tak ada masalah, kita sambut baik, kita hormat keputusan DUN Kelantan," katanya kepada Antarapos.

Persidangan DUN Kelantan pada Rabu meluluskan rang undang-undang (RUU) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) yang antara lainnya membolehkan hukuman sebat dijalankan di khalayak ramai.

RUU itu juga memperuntukkan kuasa kepada pegawai penguat kuasa agama menggunakan gari ke atas suspek selain membenarkan video digunakan sebagai bahan bukti dalam perbicaraan.

Pindaan dicadangkan Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Datuk Mohd Nassuruddin Daud yang kemudian disokong sebulat suara oleh ahli DUN.

Dalam pada itu ketika ditanya mengenai pandangan ahli DAP, Datuk Zaid Ibrahim yang menyifatkan tindakan Kelantan itu sebagai terdesak selain ketandusan tawaran kepada rakyat negeri dalam mendepani pilihan raya, jawab Anuar, kenyataan itu adalah pandangan peribadi pemimpin berkenaan.

"Mereka ini orang yang berpegang kepada perlembagaan, jadi apabila sesuatu yang mereka anggap bercanggah dengan perlembagaan, maka mereka akan membantah.

"Jadi itu hak mereka, kita tak boleh menganiaya atau hukum mereka kerana pandangan mereka itu.

"Dan mereka pun kita minta macam itu juga, kawan-kawan kita yang lain kena hormat juga pendirian kita. Dan kita juga hormat pendirian mereka, hormat itu tetapi tak semestinya bersetuju,"katanya lagi.

Tiada ulasan: