KEPALA BATAS: Tabung Haji (TH) telah membuat persiapan rapi dan
bersedia menyambut ketibaan 30,200 jemaah haji yang akan menunaikan
Rukun Islam kelima untuk musim haji 1438H itu di Tanah Suci bermula
bulan ini.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman
berkata persiapan rapi itu membabitkan semua perkara terutama dari segi
penginapan di hotel, makanan serta petugas TH dalam usaha memastikan
semua jemaah selesa sepanjang menunaikan ibadah haji.
“Setakat ini, persiapan TH di Tanah Suci semuanya berjalan lancar
kerana kami telah membuat persiapan awal sejak beberapa bulan lepas.
“Malah petugas-petugas kita telah mula ke sana sejak 12 Julai lepas dan
pada tahun ini 600 petugas TH ditugaskan untuk menjaga kebajikan dan
keselamatan jemaah Malaysia di Tanah Suci,” katanya kepada Bernama
selepas perasmian Kursus Perdana Haji Musim 1438H/2017M peringkat Pulau
Pinang, di sini malam tadi.
Kursus dua hari membabitkan 1,082 jemaah haji di Dewan Milenium, di
sini itu dirasmikan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman
Abbas.
Sementara itu, Syed Saleh yang juga Pengurus Besar Kanan Haji TH
berkata kursus itu bertujuan memberi gambaran awal buat bakal jemaah
mengenai keadaan sebenar ibadah itu sebelum mereka ke Tanah Suci.
Katanya kursus perdana yang diadakan di seluruh negara itu adalah
latihan terakhir anjuran TH sebagai usaha meningkatkan tahap pengetahuan
jemaah berkaitan ibadah haji terutama dari segi praktikal.
“Kehadiran jemaah di kursus perdana di seluruh negara juga sangat
baik…ada (jemaah) juga yang tidak hadir tetapi ia jumlah yang kecil
serta bersebab dan mereka tidak perlu bimbang kerana petugas TH akan
membantu memberikan maklumat dari semasa ke semasa,” katanya.
Penerbangan pertama akan berlepas pada 24 Julai ini sementara
penerbangan terakhir dijangka pada 25 Ogos dan semua jemaah haji negara
dijadualkan pulang semula ke tanah air pada 7 September dan penerbangan
terakhir dari Arab Saudi ialah pada 4 Oktober.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan