Jumaat, 14 Julai 2017

Gandingan Dr M-Anwar belum cukup kuat tarik undi Melayu, kata PAS

 
Logo bersama PH juga tidak akan sempat diterima pengundi Melayu kerana lambat diperkenalkan.


Zuhdi-Marzuki_mahathir_anwar_600


PETALING JAYA: PAS hari ini memperlekehkan gandingan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan berkata mereka belum cukup kuat untuk menarik sokongan pengundi Melayu.

Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat Dr Zuhdi Marzuki berkata pengundi sedar gandingan 2 ahli politik terkemuka negara itu berdasarkan kepentingan peribadi dan untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Mereka ini saya tak nampak 1 regu yang baik. Masing-masing punyai percaturan sendiri. Sebab sejarah Dr Mahathir dan Anwar kita sudah maklum sejarah cukup berliku-liku dan saya nampak saling tak percaya satu sama lain,” katanya kepada FMT.

“Kalau Dr Mahathir dengan Anwar saya yakin diakhir nanti mereka akan berbalah satu sama lain.”

Selepas rundingan yang memakan masa berbulan-bulan, pemimpin tertinggi PKR, DAP, Amanah dan PPBM malam tadi akhirnya mengumumkan mereka bersedia menghadapi pilihan raya umum depan dengan penampilan barisan kepimpinan peringkat gabungan dan logo bersama.

Anwar diumumkan ketua umum gabungan, sementara Dr Mahathir diangkat sebagai pengerusi gabungan. Kedua-dua tokoh politik itu membentuk regu yang kuat semasa di dalam Umno, sebelum Anwar dipecat sebagai timbalan perdana menteri pada 1998 dan menjadi seteru ketat.

Selepas memerintah negara selama 22 tahun bersama Umno, Dr Mahathir meninggalkan parti itu pada Februari 2016 untuk menentang Najib. Beliau mengasaskan PPBM bersama pemimpin veteran Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan menyertai Pakatan Harapan pada Mac 2017.

Semalam Dr Mahathir akui beliau membuat “pusingan U” seperti yang kerap didakwa BN.
Bagaimanapun tindakan itu tidak lagi perlu dilakukan kerana sudah menemui rakan kongsi sesuai iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjatuhkan pentadbiran Najib.

Sementara itu, Zuhdi turut menyentuh mengenai logo Pakatan Harapan, menyifatkan lambang itu tidak akan sempat diterima pengundi Melayu kerana lambat diperkenalkan.

Beliau mengingatkan Pakatan Harapan tidak mungkin dapat bentuk kerajaan sekiranya mereka gagal meraih sokongan pengundi Melayu dan pengundi Islam.

“Saya tak nampak mereka berjaya menarik Melayu dan Muslim undi PH. Kunci kemenangan yang saya nampak pada gabungan tidak kira sama ada PH, BN, atau Gagasan Sejahtera ialah mereka mesti dapat mandat majoriti pengundi Melayu.”

Tiada ulasan: