NGO Persatuan Gerakan Pendidik Kebangsaan
(Pendidik) mendesak agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meneliti
semula tindakan menghentikan elaun sara hidup dan perjalanan kepada guru
pelatih Institut Pendidikan Guru (IPG) mulai Jun 2018 tahun hadapan.
Presiden Pendidik Normala Sudirman berkata, masih belum terlambat
untuk kerajaan menarik balik pengumuman yang dibuat sebagai langkah
mengangkat martabat dan profession perguruan dalam persada politik
negara.
Beliau mempersoalkan apa rasionalnya tindakan ini dilakukan
seolah-olah peranan mereka yang bakal mendidik anak bangsa
dikesampingkan dan secara tidak langsung dibimbangi bakal membunuh minat
bagi bakal guru yang bercita-cita untuk menjadi pendidik yang baik
suatu hari nanti.
Bahkan katanya, cadangan agar guru pelatih disaran memohon pinjaman
daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi
menampung keperluan hidup mereka juga dianggap tidak relevan dan
membuktikan bahawa kerajaan seolah-olah tidak prihatin terhadap nasib
bakal guru sekali gus menunjukkan berlaku diskriminasi dalam sektor
pendidikan berbanding bidang pekerjaan yang lain.
"Kita perlu sedar bahawa profesyen perguruan adalah perkhidmatan yang
sukar diukur dengan nilai wang ringgit apatah lagi tugas mendidik
adalah suatu tugas yang mulia meskipun mencabar. Gaji mereka setelah
menjadi guru hanyalah memadai untuk mereka dan keluarga menjadi golongan
yang hidup dalam keadaan sederhana dan tidak mewah sebagaimana
profesyen lain .
"Selain memiliki tangga gaji tahap sederhana,
mereka dibebani tugas-tugas kerani yang banyak walaupun fokus utama
mereka adalah pengajaran dan pembelajaran murid di dalam kelas.
“Hanya insan yang memiliki kesabaran yang tinggi sahaja mampu menjadi
seorang guru yang berdedikasi dan gigih dalam mendidik anak bangsa
apatah lagi pada zaman zaman IT dan era globalisasi yang penuh dengan
cabaran dalam membentuk disipilin dan moral yang tinggi kepada anak
bangsa," katanya kepada Harakahdaily.
Jelas beliau, walaupun pembiayaan bagi mereka yang mengikuti Program
Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP) akan diteruskan,tetapi
menghentikan elaun sara hidup dan perjalanan bermula tahun depan bagi
bakal guru pelatih di mana khidmat mereka diperlukan untuk mendidik anak
bangsa tidak dapat diterima sama sekali.
Kerajaan dalam masa yang sama juga telah mengumumkan mereka yang
mengikuti Program PISMP akan terus menerima RM430 sebulan untuk elaun
sara hidup dan elaun perjalanan tidak lebih RM500 setahun sehingga
mereka tamat pengajian.
"Selain itu, elaun dan yuran kursus di IPG satu tahun bagi program
pra-PISMP sebanyak RM8,163 juga akan dibayar oleh kerajaan. Yang
menyedihkan, situasi ini tidak berlaku kepada bakal guru pelatih di mana
elaun guru pelatih di IPG pula yang bakal dihentikan sama sekali
berkuatkuasa Jun tahun depan.
"Kita rasa kesal dengan tindakan kerajaan seolah -olah bersikap tidak
adil dan mengamalkan sikap diskriminasi apabila mengumumkan pembiayaan
bagi mereka yang mengikuti PISMP diteruskan tetapi dalam masa yang sama
menghentikan elaun sara hidup dan tuntutan perjalanan bagi guru pelatih
bermula Jun 2018," tegas beliau.
Justeru, Pendidik mendesak kerajaan agar jangan menyukarkan usaha
mereka dalam menimba ilmu dan belajar pedagogi serta mendalami ilmu
perguruan dengan menghentikan elaun mereka sepanjang menuntut pengajian
seterusnya seolah-olah mahu menggalakkan mereka berhutang.
"Persoalannya, mengapakah Program Permata Negara boleh diberikan
peruntukan jutaan ringgit, sedangkan elaun guru pelatih mahu dihentikan
pula?" soalnya.
Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Chong Sin Woon mengumumkan KPM akan menghentikan elaun sara hidup dan perjalanan kepada guru pelatih mulai Jun 2018 tahun hadapan. – HARAKAHDAILY
Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Chong Sin Woon mengumumkan KPM akan menghentikan elaun sara hidup dan perjalanan kepada guru pelatih mulai Jun 2018 tahun hadapan. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan