Isnin, 10 Julai 2017

Azmin Akui PKR Terjejas Teruk Jika Tubuh Sekretariat PH Di Selangor






Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali akhirnya mengakui PKR akan terjejas teruk jika dibentuk Sekretariat Pakatan Harapan di Selangor.

Menubuhkan Sekretariat Pakatan Harapan bermakna mengiktiraf kewujudan pakatan antara PKR, DAP, PAN dan PPBM yang tidak bekerjasama dengan PAS serta boleh mengakibatkan pertandingan tiga penjuru pada PRU 14.

Dalam satu pertemuan tertutup Azmin bersama kira-kira 20 ADUN Selangor pada petang Khamis, Menteri Besar Selangor itu telah menjelaskan mengapa beliau masih mahu mengekalkan Pakatan Rakyat (PR) walaupun ia sudah hampir tidak berfungsi, dedah sumber dalaman mesyuarat itu kepada The Malaysian Insight.

Sumber dalaman itu memberitahu Azmin mahu mengekalkan saluran komunikasi terbuka dengan PAS bagi mengelak pertandingan tiga penjuru di negeri itu pada PRU akan datang.

“Beliau berkata DAP paling kurang terjejas kerana hampir semua kerusi mereka di kawasan bandar.

“Tetapi PKR mungkin paling banyak terima kekalahan jika pertandingan tiga penjuru berlaku di Selangor. Kebanyakan kerusi PKR di kawasan separa bandar atau luar bandar,” kata sumber itu.

Ketika ditanya rancangan Azmin untuk menangani masalah PAS di Selangor, sumber itu berkata:
“Beliau hanya mahu membiarkan saluran terbuka supaya ada ruang perbincangan.”

“Dan sehingga kompromi dicapai dengan PAS mengenai perkara ini, kita semua perlu memenangi hati akar umbi PAS.”

Sebelum ini, PAS Selangor berkata ia mahu bertanding di 45 kerusi di Selangor pada PRU akan datang.

Sumber itu berkata Azmin juga tidak memberitahu bagaimana beliau merancang untuk menangani kebimbangan Amanah dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kecuali berkata akan cuba dan membantu mereka mendapatkan lebih banyak kerusi untuk bertanding.

Amanah Selangor mendesak Azmin berhenti memikat PAS untuk membentuk pakatan pilihan raya di Selangor sebelum beliau mengejutkan ramai pada Rabu dengan berkata PR masih wujud di negeri itu walaupun PAS menarik diri daripada PR dan penubuhan PH peringkat negeri sedang dibuat.

Susulan kenyataannya, beberapa pemimpin DAP seperti Lim Kit Siang dan Tony Pua mengkritik pengumuman Azmin berhubung isu itu menerusi sosial media.

Pada program berasingan pada Khamis, seorang Adun PKR yang enggan dinamakan memberitahu The Malaysian Insight mengapa Azmin perlu menyelesaikan isu PR/PH di Selangor dengan teliti dan berhati-hati.

“Lihat kerusi saya sebagai contoh. Saya Cuma menang dengan beberapa ribu undi pada PRU13. Jika PAS berpaling daripada kami, majoriti undi saya akan jatuh.

“Dan jika BN masuk bertanding saat akhir, saya mungkin boleh hilang kerusi saya,” katanya.

Daripada 13 kerusi PKR di Selangor, lima mempunyai majoriti nipis kurang 5% daripada margin – Ijok (51.3%), Taman Medan (53.9%), Kota Anggerik (54%), Batu Tiga (54.1%) dan Batu Caves (55%).

Selain Ijok (48% Melayu), empat kerusi lain mempunyai antara 60% dan 70% pengundi Melayu. Sama juga dengan kerusi Bukit Antarabangsa milik Azmin dan Sri Setia yang dipegang exco Nik Nazmi Nik Ahmad juga hanya 6.4% dan 6.2% margin untuk menang. Bukit Antarabangsa mempunyai 56% pengundi Melayu sementara 51% di Sri Setia.

Jadi, jika PAS berpecah di kerusi berkenaan dengan pertandingan tiga penjuru, PKR boleh kalah dalam perlawanan sengit itu.

Seorang lagi sumber berkata Azmin memberitahu Adun daripada Amanah, DAP dan PKR yang beliau hanya menghormati permintaan pengundi untuk PR terus memerintah di Selangor.

“Beliau beritahu kami PR diberikan mandat pada PRU13 untuk mentadbir Selangor. Dan itu apa yang beliau hendak buat sehingga PRU akan datang,” kata sumber.

Mengenai bekerjasama dengan PAS, sumber itu berkata Azmin berharap PAS Selangor berbeza dan kompromi untuk mengelak pertandingan tiga penjuru dapat diwujudkan.

“Beliau percaya PAS Selangor cukup bebas dan ada pendirian sendiri, tanggungjawab dan cita-cita. Azmin kata hakikatnya ialah pemenang jika berlaku tiga penjuru ialah Barisan Nasional,” kata sumber.

Mesyuarat itu bermula jam 5 petang dan berakhir dua jam kemudian. Antara yang hadir ialah exco Elizabeth Wong, Amirudin Shari, V Ganabatirau dan Teng Chang Khim serta Adun Ng Suee Lim, Saari Sungib, Dr Idris Ijok, Gan Pei Nei, Yeo Bee Yin, Lee Kee Hiong, Rodziah Ismail, Ng Sze Han, Hasnul Baharuddin, Tiew Way Keng, Lee Nyuk Lan, Dr Xavier Jeyakumar, Hannah Yeoh dan Shuhaimi Shafiei.

Satu Lawan Satu Keutamaan PKR Selangor, Bukan Sekretariat Pakatan Harapan – Zuraida

Tiada ulasan: