Sabtu, 10 Jun 2017

Selepas RUU 355, PAS mahu bawa satu lagi RUU baru

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS mahu membawa satu lagi Rang Undang-undang (RUU) Persendirian jika kerajaan gagal meneruskan cadangan menggubal Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik.
 
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Zuhdi Marzuki berkata langkah partinya itu perlu dipandang sebagai usaha menyelesaikan pelbagai isu rasuah yang dihadapi negara pada ketika ini.
 
"Kalau kerajaan tidak membawa RUU ini kemungkinan ada satu lagi RUU yang akan dibawa PAS yang melibatkan RUU berkenaan akta dana politik dan perbelanjaan politik. Ini pendekatan kita. 
 
"Kita mengemukakan alternatif, cadangan. Tetapi kita bukan (lakukannya) kerana populis. Kita bercakap hal perubahan yang perlu dilakukan.
 
"Walaupun mereka akan mendapat 'mileage politic', tetapi ketahuilah PAS mengutamakan penyelesaian kepada masalah negara," katanya ketika menyampaikan ucapannya di Munaqasyah Rakyat di sini, hari ini.
 
Zuhdi mengulas langkah kerajaan pada tahun lalu yang mahu menggubal Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik yang mana menetapkan kesemua ahli politik supaya mengisytiharkan dana yang diterima atau disiasat atau dikenakan tindakan.
 
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low sebelum ini berkata akta itu akan mengharamkan sumbangan tunai daripada sumber asing, sama ada kepada parti atau ahli politik, termasuk individu, syarikat, yayasan atau persatuan yang berdaftar atau tidak berdaftar serta yang tidak berpejabat di negara ini.
 
Malah apabila ia diluluskan kelak, akta itu juga boleh mengenakan larangan kepada perniagaan milik kerajaan dan syarikat terima kontrak kerajaan atau konsesi membuat sumbangan politik secara langsung, tidak langsung atau berupa barangan.
 
Segala sumbangan yang diterima dan dibenarkan perlu disalurkan ke dalam akaun parti atau akaun peribadi yang baru berasingan untuk transaksi itu.
 
Zuhdi ketika mengulas lanjut berkata PAS dan parti gabungan kerjasamanya, Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) menyokong usaha yang mahu diusulkan kerajaan itu.
 
"Kita kemukakan hujah iaitu untuk selesaikan masalah ekonomi negara, yang kita selesaikan pendekatan Islam bukan hanya prinsip tetapi penyelesaian teknikalnya juga.
 
"Kita juga kemukakan dokumen penting bersama dengan parti IKATAN, yang muktahir satu memorandum Gagasan Sejahtera menyokong penggubalan akta dana politik dan perbelanjaan yang cuba dibuat oleh kerajaan melalui menterinya, Paul Low.
 
"Cuma setakat ini belum nampak bila ia akan dibawa. InshaAllah dalam perbincangan malam tadi, kita akan desak (usul)," ujarnya lagi.
 
Bagaimanapun cadangan kerajaan itu mendapat kritikan pembangkang yang menyifatkan ia sebagai berat sebelah.
 
 

Tiada ulasan: