Ahad, 4 Jun 2017

Kaum Cina suka beri rasuah?

rasuah


SHAH ALAM - Dakwaan menyatakan hanya kaum Cina suka beri rasuah adalah silap kerana semua kaum sememangnya terbabit dalam amalan yang tidak sihat itu.

Demikian ditegaskan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad.

"Bukan kaum Cina sahaja yang beri sogokan. Rasuah tidak ada kena mengena dengan sesuatu kaum. Semua agama dan kaum melarang daripada melakukan perbuatan rasuah," katanya ketika ditemu bual oleh China Press.

Menurut beliau, berdasarkan sokongan yang diberikan sektor perniagaan kepada SPRM dalam usaha membasmi rasuah, jelas menunjukkan semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama menolak rasuah.

"Persatuan-persatuan perniagaan Cina telah memberikan kerjasama dan sokongan yang penuh kepada SPRM. Ini memang di luar jangkaan saya. Ini menunjukkan rakyat telah kembali yakin kepada SPRM.

"Pada masa akan datang, SPRM akan terus memastikan semua jabatan kerajaan menjalankan fungsi dengan berkesan dan menghalang berlakunya sebarang penyalahgunaan kuasa.

"SPRM juga akan memastikan rakyat akan mendapat faedah daripada dasar ataupun rancangan yang dilakukan oleh kerajaan," katanya.

Bercakap mengenai pelantikan beliau sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM sejak 10 bulan lalu, Dzulkifli mengakui dirinya terasa letih dan tertekan.

"Saya pun rasa letih, tetapi saya tetap gembira. Kadang-kala rasa tertekan. Kadang-kala saya juga perlu sedia menerima kritikan daripada parti pembangkang dan badan-badan bukan kerajaan (NGO).

"Saya belum cukup setahun dalam SPRM. Harap beri saya masa. Tempoh pelantikan saya adalah lima tahun. Seperti juga parti politik, rakyat juga perlu beri peluang kepada parti itu selama lima tahun untuk menunaikan janji yang terdapat dalam manifesto pilihan raya mereka," katanya.


Tiada ulasan: