Sabtu, 10 Jun 2017

FGV: SPRM akan panggil saksi dalam tempoh terdekat

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil beberapa saksi dan individu dalam tempoh terdekat bagi membantu siasatan berhubung Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV).
 
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki, berkata pihaknya sedang mengkaji dokumen yang dirampas untuk mengumpul bukti berhubung siasatan, sebelum tindakan lanjut diambil.
 
“Semalam, pegawai kami sudah menggeledah ibu pejabat FGV semalam dan merampas dokumen-dokumen yang berhubung kait dengan siasatan kes tersebut bagi membantu siasatan.
 
“Selain itu, pihak kami sudah memulakan siasatan terhadap beberapa individu berikutan menerima maklumat terbaharu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
 
Semalam, SPRM mengambil tempoh selama lapan jam untuk menggeledah ibu pejabat FGV di Menara Felda serta merampas kira-kira empat kotak serta tiga beg dokumen penting.
 
Dalam pada itu tambah Azam, semua pihak perlu memberi masa dan ruang kepada SPRM serta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
 
Kemelut tercetus selepas FGV mengarahkan empat pengurusan kanannya bercuti serta-merta bagi membolehkan siasatan dalaman dijalankan mengenai tunggakan bayaran syarikat Afghanistan, Safitex kepada anak syarikat FGV, Delima Oil Product Sdn Bhd
 
Empat mereka adalah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Zakaria Arshad; Ketua Pegawai Kewangan FGV, Ahmad Tifli Mohd. Talha; Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading, Ahmad Salman Omar dan Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products Sdn. Bhd., Kamarzaman Abd Karim.
 
 

Tiada ulasan: