Sabtu, 18 Jun 2016

Warga kota bantah cadangan DBKL mahu jadikan Taman Rimba Kiara ‘hutan konkrit’

IMG-20160617-WA0015

Oleh Syazana Hasanudin


KUALA LUMPUR: Kerajaan sepatutnya menjadi badan terpenting dalam menjamin kelestarian alam sekitar, namun di negara ini, semakin banyak kawasan hijau terancam atas nama pembangunan bagi memenuhi kepentingan korporat dan pihak tertentu.

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng, berkata jika kerajaan atau pemaju swasta mahu membangunkan kawasan perumahan atau perindustrian, mereka haruslah meletakkan faktor alam sekitar sebagai kepentingan utama.

Oleh itu, beliau membantah sekeras-kerasnya pembinaan lapan blok kondominium 54 tingkat di kawasan Taman Rimba Kiara di Taman Tun Dr. Ismail dekat sini.

“Mengapa kawasan di Taman Rimba Kiara, sebuah taman hijau yang besar dengan tasik dan pelbagai jenis pokok boleh dijual oleh kerajaan kepada pemaju swasta untuk menjadikannya hutan konkrit?


IMG-20160617-WA0014

“Rata-rata semua penduduk terperanjat dengan pengumuman oleh kerajaan itu. Mereka juga ingin tahu, siapakah sebenarnya ahli politik yang menyokong projek tersebut?” katanya kepada Roketkini.

Menurut Lip Eng, penduduk Taman Tun Dr. Ismail telah berkali-kali mempersoalkan hal itu kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), namun pertanyaan mereka tidak dilayan.

Jelasnya, walaupun kerajaan memberi alasan bahawa projek itu dijalankan untuk memberi rumah tetap kepada penghuni rumah panjang di Bukit Kiara, pembinaan kondominium itu sama sekali tidak boleh diterima kerana ia memusnahkan tapak alam sekitar yang amat diperlukan penduduk.

“Alasan kerajaan itu terlalu dangkal. Mereka hanya perlu membina satu blok pangsapuri sahaja untuk penduduk-penduduk rumah panjang dan ia boleh dibina di kawasan asal rumah panjang itu. Kenapa perlu bina lapan blok kondominium?

“Benarkah apa yang didakwa kerajaan itu atau mereka hanya menggunakan alasan itu untuk mendapat keuntungan dari pemaju swasta? Janganlah memperalatkan orang susah di rumah panjang itu untuk kepentingan poket sendiri,” tegas Setiausaha DAP Kuala Lumpur itu.

Warga kota baru-baru ini dikejutkan dengan papan tanda di Taman Bukit Kiara yang menunjukkan bahawa kawasan di situ bakal dibangunkan dengan lapan blok kondominium 54 tingkat untuk tujuan kediaman dan pembangunan.

Isu itu rata-rata menjadi perbualan warga kota terutama di media sosial yang keras membantah pembangunan berkenaan memandangkan ia bakal menjejaskan alam sekitar di kawasan tersebut.

Semua pihak yang ingin mengutarakan bantahan disaran menghantar bantahan bertulis kepada DBKL selewat-lewatnya pada 29 Jun ini. – Roketkini.com


Tiada ulasan: