Isnin, 13 Jun 2016

UTM akui kesilapan slaid pembentangan agama Hindu dan Sikh

 
Antara perkara kontroversi dalam slaid adalah, Islam memperkenalkan erti kesopanan dan kebersihan diri kepada penganut Hindu di India.


P-Kamalanathan


PETALING JAYA: Naib Canselor (NC) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengakui berlaku kesilapan fakta dalam slaid pembentangan yang menyentuh sensitiviti agama Hindu dan Sikh yang diviralkan di laman sosial hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P.Kamalanathan dalam muatnaik terbaru di laman Facebook milik beliau berkata, rakam layar kedua-dua slaid pembentangan yang mengundang rasa tidak puas hati netizen itu disahkan sebagai satu kesilapan dan NC bersetuju untuk membetulkan segera kesilapan yang telah berlaku.

Antara kandungan kontroversi slaid tersebut adalah, Islam memperkenalkan erti kesopanan dan kebersihan diri kepada penganut Hindu di India serta dakwaan bahawa pengasas agama Sikh, Kabir tidak memahami Islam dan terpengaruh dengan masyarakat Hindu di sekitarnya.

“Saya juga meminta agar beliau memastikan supaya kesilapan itu tidak berulang kerana ia boleh menyebabkan kekeliruan dan ketidakpuasan dalam kalangan pelajar di samping menyebarkan fakta yang salah,” kata ahli Jawatankuasa Kerja Pusat MIC itu.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda MIC, C.Sivarraajh juga menyelar tindakan UTM membenarkan slaid itu dibentangkan.

Katanya, UTM perlu mencari jalan untuk meningkatkan kualiti pendidikan dan meningkatkan pengetahuan serta keupayaan intelek pensyarah dan ahli akademiknya.

“Jangan menjadi bahan ketawa dalam kalangan ahli akademik dan universiti dunia,” katanya dalam laman Facebook beliau.

Tiada ulasan: