Isnin, 13 Jun 2016

UMNO-PAS bersatu: Jangan tunggu lama-lama

FREE MALAYSIA TODAY


Kata Ramli Sarip ‘Papa Rock’ bersama kumpulan Sweet Charity “Jangan tunggu lama-lama nanti lama-lama dia diambil orang”
 
 
 
mahfuz-pas-umno

Oleh Mahfuz Omar


1. Hasrat sebelum ini dalam kenyataan saya bertarikh 10 Mei 2016 menyarankan atas nama pembangkang supaya PAS dan AMANAH berunding untuk memastikan agenda satu lawan satu dalam PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang menjadi hasrat rakyat Malaysia untuk mengalahkan UMNO-BN. Namun hasrat saya itu ditolak oleh pimpinan PAS atas alasan tiada kerjasama dengan pengkhianat.

2. Kini dengan kenyataan Ketua Pemuda PAS, YB Ustaz Nik Mohamad Abdul Nik Abdul Aziz barulah saya faham kedudukan sebenar. YB Nik Abduh yang menekankan PAS bukan sahaja berniat tetapi berazam untuk bersatu dengan UMNO. Ini bermakna usaha telah, sedang dan terus dilakukan oleh PAS bagi merealisasikan niat dan azam untuk memastikan PAS dan UMNO bersatu menjadi kenyataan.

3. Saya percaya pertemuan, perbincangan dan perundingan dua belah pihak telah diadakan. Walaupun berkali-kali dinafikan oleh pimpinan PAS, tetapi dengan kenyataan YB Nik Abduh itu sudah cukup meyakinkan, cuma keberanian berterus terang sahaja yang masih diselubungi ketakutan. Saya mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang menunjukkan usaha ke arah itu digerakkan.

4. Saya percaya YB Nik Abduh mempunyai keberanian luar biasa berbanding dengan pimpinan PAS yang lain. Sikap suka berterus terang dan tidak suka berselindung dalam tindak tanduknya menjadikan kepimpinan Nik Abduh dipuji dan disenangi oleh ahli PAS dan pimpinan UMNO. Apa yang dinyatakan oleh Nik Abduh tidak boleh dianggap pendapat peribadi kerana Nik Abduh dipercayai terlibat dalam mewakili PAS dalam perbincangan penyatuan dengan UMNO sama ada secara langsung atau tidak langsung.

5. Persoalannya sampai bila PAS dan UMNO akan bermain dengan kenyataan penyatuan tanpa ketentuan. Tidak cukup sekadar berbalas kenyataan menyambut baik penyatuan sedangkan tiada keberanian yang nyata. Saya faham penyatuan yang dimaksudkan bukanlah menyertai atau bergabung dengan UMNO tetapi sudah pasti yang dimaksudkan ialah kerjasama politik dan dakwah yang memerlukan satu ikatan janji yang konkrit untuk kelangsungan kuasa politik Melayu Islam dipertahankan. Inilah yang ditegaskan oleh Presiden PAS bahawa 40% orang bukan Islam tidak boleh menguasai 60% orang Islam apabila memberikan amaran untuk DAP menghentikan usaha menguasai pemerintahan.

Saya pun tak tahu bila pula yang DAP hanya bertanding tak lebih 60 kerusi Parlimen mampu menjadikan Cina boleh menguasai Malaysia. Tak apa lah mungkin itu satu amaran dan peringatan. Tetapi selepas PAS mengambil jalan meninggalkan rakan pembangkang sewajarnya PAS dan UMNO tidak boleh lagi membiarkan kedua-dua parti ini berebut pengaruh undi dalam kalangan pengundi Melayu-Islam tetapi sebaliknya perlu berkongsi sokongan pengundi Melayu untuk survival parti dan kuasa politik Melayu-Islam. Soalnya bila mahu dimulakan.

6. Pada saya, sebaiknya dua PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar sebagai medan permulaan untuk penyatuan apa yang sering disebut demi kuasa politik Melayu-Islam. Oleh itu, bagi saya, masih belum terlambat sebelum hari mengundi awal pada Selasa 14 Jun atau hari mengundi pada 18 Jun untuk kedua-dua parti PAS dan UMNO-BN membuat kesepakatan yang terang dengan mengorbankan satu kerusi PRK yang ditandingi kali ini.

7. Contohnya, PAS membuat pengisytiharaan menarik diri dan melepaskan kerusi Sungai Besar untuk UMNO-BN terus berlawan dengan AMANAH dan menggerakkan pengundi PAS untuk mengundi dan menangkan calon UMNO-BN, dan UMNO-BN menarik diri serta melepaskan kerusi Kuala Kangsar kepada PAS untuk berlawan dengan AMANAH dan mengerakkan pengundi BN mengundi dan menangkan calon PAS. Ini akan lebih mudah difahami daripada isyarat-isyarat yang sukar kepada pengundi, dan ini akan lebih menguntungkan daripada kedua-dua parti terus berlawan yang berkemungkinan ada parti tak menang langsung pada PRK ini.

8. Kata Ramli Sarip ‘Papa Rock’ bersama kumpulan Sweet Charity “Jangan tunggu lama-lama nanti lama-lama dia diambil orang”. Hanya ketakutan pimpinan PAS dan UMNO sahaja yang menghalang cadangan saya untuk PRK ini. Mungkin selepas PRK mereka kena berniat dan berazam buang ketakutan untuk bersatu.

Sedap pula senikata lagu Bersatu Bersetia Berkhidmat.Senyum!! PENYATUAN PAS UMNO SUATU PENANTIAN.

*  Datuk Mahfuz Omar adalah Ahli Parlimen Pokok Sena

Tiada ulasan: