Jumaat, 10 Jun 2016

Tuan Ibrahim: PRK bukan medan wrestling Pas

Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man
 
 
SHAH ALAM – Pas hari ini menyanggah dakwaan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang mendakwa parti Islam itu memberi serangan hebat kepada Parti Amanah Negara  (Amanah).

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, dakwaan Mahfuz yang menyifatkan  Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar sebagai medan gelanggang wrestling (gusti) antara Pas, Amanah dan BN tidak tepat memandangkan parti itu tidak memberi ‘serangan’ kepada Amanah.

Sebaliknya tambah Tuan Ibrahim lagi, parti itu kekal menyasarkan BN sebagai lawan terdekat pihaknya.

Menurut Tuan Ibrahim lagi, pada pilihan raya kali ini, Pas lebih memberi tumpuan terhadap prestasi dan kredibiliti parti berbanding memberi kritikan kepada parti lain.

“Pas sudah buat penegasan tidak akan serang Amanah dan hanya akan serang BN, Pas hanya angkat parti dan tidak akan memuji dan menyanjung parti lain.

“Kita bila masuk politik mesti beri perhatian pada parti (sendiri). Bila kita bertanding (dalam pilihan raya), tak kan kita nak puji parti politik lain?” soalnya sinis.

Mahfuz dalam sebuah kenyataan pada Isnin lalu menyifatkan pertembungan parti-parti politik pada PRK seperti pertemuan musuh di gelanggang gusti.

Ini kerana kata beliau, Pas dan BN hanya menumpukan usaha untuk menjatuhkan Amanah, bukannya berkempen untuk mengatasi calon parti pihak lawan.

[ARTIKEL BERKAITAN: PRK seperti gelanggang ‘wrestling’, kata Mahfuz]

Tuan Ibrahim ketika dihubungi Sinar Online hari ini turut menempelak Mahfuz yang dilihat menyebelah parti-parti pesaing.

“Sepatutnya beliau perlu sokong parti sendiri sebab dia masih ahli Pas. Dia tidak boleh dilihat menyebelahi pesaing-pesaing Pas,” bidasnya.


Tiada ulasan: