Selasa, 7 Jun 2016

PRK Kuala Kangsar: PAS Dekati Pengundi, Anjur Tadarus al-Quran

Oleh: ZAINAL AZHAR MOHAMED
 
 
Dr Najihatussalehah (depan kanan) bersama barisan kepimpinan PAS Pusat pada mengambil pendekatan bersemuka dengan pengundi kerana kesuntukan masa.
 
 
KUALA KANGSAR: PAS menggunakan kaedah berbeza untuk berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar apabila tidak memberi tumpuan terhadap ceramah, sebaliknya mendekati pengundi secara peribadi.

Calon parti Islam itu, Dr Najihatussalehah Ahmad berkata, pihaknya akan berkempen terus kepada pengundi daripada berceramah kerana masa yang agak suntuk.

Menurutnya, memandangkan tempoh kempen berlangsung pada bulan puasa, PAS akan bertindak menemui pengundi secara turun padang kerana ia dilihat lebih berkesan.

"Pada hari pertama kempen saya telah ke hospital dan pejabat-pejabat kerajaan untuk bertemu kakitangan awam, kita terus memulakan kempen kerana masa agak suntuk.

"Kita juga bertemu pengundi di pekan dan bazar Ramadan pada sebelah petang untuk memaklumkan bahawa PAS adalah pilihan terbaik untuk Parlimen Kuala Kangsar.

"Program-program bersama penduduk juga telah diatur. Kita adakan program tadarus al-Quran bersama penduduk. Program lain juga lebih kepada keagamaan kerana sekarang kita sedang menempuh Ramadan," katanya ketika ditemui.




Najihatussalehah menegaskan, walaupun beliau merupakan penduduk Parlimen Parit, namun ia tidak menjadi isu untuk pengundi memilihnya kerana kawasan itu hanya terletak bersebelahan Parlimen Kuala Kangsar.

Jelasnya, selain Kuala Kangsar, beliau sentiasa ke semua Parlimen di Perak kerana menjadi tanggungjawabnya sebagai Ketua Dewan Muslimat PAS negeri untuk menjaga kebajikan penduduk.

"Jadi isu bukan anak kelahiran Kuala Kangsar itu bukan sesuatu yang besar kerana kawasan saya hanya bersebelahan saja.

"Apa yang lebih penting lagi ialah pengundi memilih calon yang mampu membawa masalah mereka ke depan dan menentang korupsi kerajaan yang akhirnya merugikan rakyat sendiri," tegas beliau.

Dalam PRK Parlimen Kuala Kangsar ini, Najihatusaalehah akan menentang calon Barisan Nasional, Datin Matura Mohd Yazid; Naib Ketua Amanah Kuala Kangsar, Dr Ahmad Termizi Ramli dan calon bebas, Izad Bukhary Ismail Bukhary.

Tiada ulasan: