Oleh DR. AHMAD FAKHRUDDIN BIN SYEIKH FAKHRURAZI 1. PAS Kedah mengucapkan tahniah terhadap pengumuman oleh kerajaan Persekutuan mahu memperuntukkan sebanyak RM2 juta bagi meningkatkan kemudahan Hospital Kuala Kangsar. Ia merupakan keprihatinan tinggi kerajaan BN terhadap kebajikan rakyat.
Bagaimanapun
oleh kerana janji tersebut muncul secara tiba-tiba sewaktu tempoh
berkempen PRK Kuala Kangsar, maka ia segera mengingatkan rakyat Kedah
terhadap janji BN yang dibuat pada PRK Pendang tahun 2002 lalu. Pada
PRK tersebut, BN telah berjanji untuk mewujudkan sebuah Hospital Daerah
Pendang dan perasmian tapak hospital dibuat di atas tapak yang pernah
dijanjikan untuk maksud yang sama beberapa tahun sebelumnya.
2.
DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agung dalam perasmian Sidang
DUN Kedah, pernah menegur Kerajaan Persekutuan kerana
melambat-lambatkan pembinaan hospital Pendang yang dijanjikan itu.
Tahun lalu Perdana Menteri dalam ucapan Bajet 2016 telah menyenaraikan
Hospital Daerah Pendang untuk dibina mengikut Bajet 2016.
3.
Malangnya sehingga hari ini, perkara yang pernah dijanjikan oleh BN
pada PRK Pendang 14 tahun lalu itu, belum menjadi kenyataan. Maka ada
baiknya jika rakyat negeri ini, khususnya pengundi Kuala kangsar
berfikir panjang sebelum mempercayai akan janji politik BN yang sering
dimungkiri.
4. Dengan berlaku PRK
Kuala Kangsar dan Sungai Besar, boleh pula dengan serta merta kerajaan
mengumumkan bantuan khas kepada penoreh RM500 seorang dengan dana RM194
juta, sedangkan sejak tiga tahun lalu para penoreh puas menuntut
pembelaan dari kerajaan ekoran kejatuhan harga getah, tetapi rayuan
masyarakat penoreh tidak dipedulikan.
5.
Jika benar dana khas itu untuk bantu penoreh, kerajaan patut
menggunakannya sebagai penambah nilai harga sekerap, daripada RM2.00/kg
menjadi RM3.00/kg. Seluruh penoreh di negara ini boleh menerima
manfaat segera dan merasai kelegaan dengan kenaikan itu. Ia lebih adil
dan saksama, yang menoreh dan menjual sekerap akan menerima manfaatnya.
6. Purata pengeluaran getah sebulan di Malaysia ialah 72,000 tan
ataupun 72 juta kilogram. Jika harga setiap sekilogram ditokok RM1,
kerajaan hanya berbelanja RM72 juta sebulan. Peruntukan khas RM194 juta
itu mampu bertahan kira-kira 3 bulan. Bayaran boleh saja dibuat kepada
pengilang, bergantung kepada jumlah getah yang dibeli dari pekebun dan
peraih. Pemberian one-off RM500 seorang takkan bertahan lebih sebulan
dengan kos kehidupan sekarang.
7.
Kerajaan pimpinan BN jangan lupa bahawa tuntutan dana Insentif
Pengeluaran Getah (IPG- yang diumumkan dalam belanjawan 2016), sejak
Januari sampai sekarang, satu sen pun belum dibayar kepada penoreh.
Mantan Timbalan Menteri Kementerian terbabit (MPIC) telah memaklumkan
di Dewan Rakyat pada 5 April 2016 bahawa RM12 juta telah dikeluarkan
daripada dana IPG untuk dibayar kepada penoreh. Ke mana pergi dana itu,
bila pula penoreh akan menerimanya?
8.
Lebih malang lagi janji bantuan terhadap masyarakat penoreh, disudahi
dengan permintaan oleh Perdana Menteri supaya BN dipilih oleh pengundi
dalam PRK ini. Tidakkah ia terang-terangan satu bentuk rasuah? Soalnya,
sampai bila rakyat terus mahu diperbodohkan?
Pesuruhjaya PAS Kedah |
Selasa, 14 Jun 2016
Pilihan Raya Kecil -Sampai bila rakyat terus mahu diperbodohkan?
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan