Isnin, 27 Jun 2016

Pecat Muhyiddin tindakan bacul Najib, tempelak GKCM Johor

DALIA ISMAIL
 
 
Mohd Solihan Badri Mohd Solihan Badri Tindakan memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden, adalah satu tindakan bacul yang diputuskan oleh Datuk Seri Mohd Najib Razak dan Ahli Majlis Tertinggi Umno.

Pengerusi GKCM Johor Mohd Solihan Badri berkata, walaupun GKCM berjaya mendapatkan lebih 156 cawangan Umno mengusulkan supaya Najib merundur, dilihat tidak memberi kesan kepada kedudukan Presiden.

"Beliau (Najib) telah bekerjasama dengan ahli Majlis Tertinggi untuk ‘menyelesaikan’ masalah yang dihadapinya dengan mengambil tindakan bacul memecat keahlian Muhyiddin dari Umno.

"Dengan perkembangan terkini, ahli akan meletakkan jawatan dan menyatakan sokongan padu terhadap Muhyiddin," ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Beliau ditemui ketika hadir pada majlis sidang media yang diadakan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir di Kelab Alumni Universiti Malaya, semalam.

Mohamad Solihin adalah antara tiga daripada ahli jawatankuasa di bahagian Pagoh yang telah menyatakan pendiriannya untuk melepaskan jawatan dalam parti serta merta selepas pengumuman pemecatan itu dibuat oleh ahli majlis tertinggi parti pada Jumaat.

"Saya letak jawatan sebagai AJK Bahagian Pagoh bersama dengan Datuk Abu Bakar Mohd dan Datuk Aziz Hashim.

"Selain daripada itu beberapa ketua cawangan di Pagoh turut menyatakan hasrat mereka untuk meletakan jawatan kelak," dakwanya.

Bahagian Pagoh mempunyai 156 cawangan yang mana diberitahu sebanyak 103 cawangan telah menyatakan usul menolak Najib pada persidangan Ketua-ketua cawangan yang berlansung pada April lalu.

Menurut Mohd Solihan rata-rata ahli akar umbi di bahagian itu tidak puas hati terhadap kaedah pemecatan Muhyiddin dan Mukhriz pada Jumaat lalu, telah menyatakan pendirian bersama mereka untuk keluar daripada jawatan masing-masing.

"Ada yang berfikir untuk meletakkan jawatan dan membubarkan cawangan masing-masing.
"Ini timbul kerana rasa tidak puashati mereka dengan Umno diperingkat pusat (Ahli Majlis Tertinggi) kerana memecat Muhyiddin," ujarnya.

Mengulas sama ada tindakan ketua-ketua cawangan ini bersifat emosional sebagaimana pandangan Naib Presiden Umno,Datuk Seri Hishamuddin Hussein, beliau menafikannya sebagai tindakan beremosi.

"Kita tidak beremosi untuk letak jawatan. Ini kerana dahulu kita sertai Umno bukan kerana emosi.
Kesedihan dan rasa marah itu memang ada tetapi tindakan yang kami ambil ini kerana kami berfikir cara Umno bertindak diperingkat pusat tidak mengikut peraturan perlembagaan parti.

"Kia mahu tunjukkan kita berdiri teguh pada perjuangan Muhyiddin yang mahu membawa Umno ke tahap yang lebih baik berbanding masa kini.

"Tanpa memanggil Muhyiddin untuk diberikan ruang bercakap dan bersemuka dengan Ahli Majlis Tertinggi sebaliknya, terus memecat beliau, adalah tindakan tidak boleh diterima dikalangan ahli akar umbi di Pagoh.

"Apa yang kita lakukan ini untuk menegakkan kebenaran dengan matlamat mahu menamatkan kemungkaran yang kini menghimpit keyakinan rakyat terhadap kewibawaan pemimpin tertinggi parti  mengemudi Umno untuk masa hadapan.

"GKCM adalah suara dan hasrat akar Umbi Umno. Kita yakin sebuah parti baru atau gerakan baru,  kelak akan mendapat sokongan meluas, terutama ahli Umno, khususnya golongan muda, " ujarnya.

Sebagi rekod GKCM ditubuhkan dengan objektif untuk mengembalikan keyakinan ahli akar umbi kepada Umno berikutan penglibatan Najib dalam skandal kewangan terburuk melalui IMDB yang dijadikan modal dikalangan parti pembangkang untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihanraya Umum ke-14.

Kini GKCM mendapati kepimpinan Umno daripada peringkat Ketua Bahagian dan ahli MT telah gagal dalam tanggungjawabnya menegur salah laku Presiden.

Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir ketika mengadakan sidang media pemecatan mereka semalam yang dihadiri kebanyakannya penyokong Deklarasi Rakyat dan ketua-ketua cawangan. - Gambar Malaysia Dateline oleh Wan Zahari Wan Salleh. Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir ketika mengadakan sidang media pemecatan mereka semalam yang dihadiri kebanyakannya penyokong Deklarasi Rakyat dan ketua-ketua cawangan. - Gambar Malaysia Dateline oleh Wan Zahari Wan Salleh.

Tiada ulasan: