Selasa, 7 Jun 2016

PAS terbit risalah Cina jelaskan ‘kematian’ Pakatan

 
 
Bagi menjelaskan kekalutan sehingga menyebabkan terkuburnya Pakatan Rakyat, PAS mengedarkan risalah berbahasa Cina pada majlis berbuka puasa yang diadakan di sebuah Kampung Baru Cina di Sungai Besar, petang semalam.

Risalah itu turut menafikan bahawa PAS ingin menubuhkan sebuah kerajaan campuran dengan seteru politiknya, Umno yang kini hubungan mereka semakin mesra.

Majlis berbuka puasa itu diadakan di Dewan Serbaguna Kampung Baru Nelayan, Bagan Sungai Besar dan dihadiri oleh kira-kira 300 ratus penduduk tempatan. 70 peratus daripada mereka berbangsa Cina.



Tindakan PAS bagi mendekati penduduk Kampung Baru ini dilihat sebagai cubaan meraih undi Cina apabila sokongan masyarakat berkenaan terhadap PAS dilaporkan semakin terhakis selepas terkuburnya Pakatan Rakyat dan isu hudud berbangkit semula.

Kedua-dua isu perpecahan Pakatan Rakyat dan kerajaan campuran PAS-Umno dijelaskan menerusi dua artikel berbahasa Cina di muka hadapan dan belakang kertas risalah itu.

Sogokan dakyah

Artikel pertama bertajuk 'PAS silap dituduh menyebabkan keretakan dalam Pakatan Harapan' itu menjelaskan parti Islam tersebut mematuhi semangat Pakatan Harapan selama ini.

Menurut penulisnya, rakyat yang tidak diberitahu keadaan sebenar tetapi sentiasa disogokkan dengan dakyah bahawa PAS bukan ahli yang setia dan bagus dalam Pakatan Rakyat, malah sengaja mengaggalkan 'Langkah Kajang'.

“Dalam Langkah Kajang, PKR dan DAP ingin menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor yang baru.

“Namun, ini hanyalah pertarungan kuasa dalaman PKR, iaitu ingin menukar seorang pimpinan yang dikatakan rasuah, namun sebenarnya hanya kerana Khalid Ibrahim ditolak oleh puak satu lagi.

“Akhirnya kebenaran terbongkar apabila Khalid menyaman bekas setiausaha agung PKR Datuk Saifuddin Nasution dan beliau terpaksa memohon maaf kepada Khalid,” petik artikel itu.



Menurut penulis, PAS mengarahkan empat orang exco parti itu untuk terus bersama dalam kerajaan negeri Selangar yang baru bagi mempertahankan pemerintahan Pakatan Rakyat.

PAS juga memutuskan dua prinsip iaitu kerajaan negeri yang mendapat mandat melalui pilihan raya umum 2013 tidak boleh dibiarkan tumbang ke tangan Umno dan menteri besar baru Selangor tidak seharusnya diangkat daripada kalangan ADUN PAS sebagai mematuhi semangat Pakatan Rakyat, kata arikel itu.

'Patuk ular kali kedua'

Artikel kedua bertajuk 'PAS difitnah cuba tubuh kerajaan campuran' menafikan bahawa parti itu ingin bekerjasama dengan Umno.

Ia menjelaskan selepas krisis Kelantan, PAS tidak lagi percaya Umno dan hubungan kedua-dua parti menjadi tegang dan tidak mungkin berbaik semula.

“(Allahyarham) Datuk Nik Aziz Nik Mat pernah berkata PAS tidak akan digigit oleh ular untuk kali kedua.
“Umno kini menghadapi pertarungan kuasa dalaman dan PAS cuba menekan agar kerajaan melaksanakan polisi yang memanfaatkan rakyat.

“Namun, musuh politik pula memfitnah PAS ingin menubukan kerajaan campuran bersama Umno, ini tidak betul!” petik artikel itu.



Risalah itu juga memaparkan gambar calon PAS, Dr Abdul Rani Osman yang juga adalah ADUN Meru dan mengingati pengundi agar menyokong bekas pesuruhjaya parti itu.

Selain itu, majlis petang itu juga menggunakan khidmat pengacara berbahasa Cina dan Melayu.

Turut didendangkan adalah lagu Cina 'Bulan mewakili hati saya' dan 'PAS for all' dalam bahasa Cina.

Penganjur juga menyumbangkan wang sebagai pemberian biasiswa kepada pelajar Cina yang cemerlang dan turut diadakan adalah cabutan bertuah.

Presiden PAS Datuk Seri abdul Hadi Awang dan Dr Rani turut hadir pada majlis berbuka puasa ini.


Tiada ulasan: